fbpx

Capai kejayaan hasil perkongsian rezeki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahli perniagaan, Fida Ramli ketika ditemui di Fida Ramli Legacy di Prima Gombak baru-baru ini.

MELIHAT pengorbanan yang dilakukan oleh ibu bapanya ketika kecil bagi membesarkan mereka sekeluarga ternyata telah menyuntik semangat Fida Ramli, 31.

Sejak itu, dia menyimpan hasrat untuk berjaya serta memberi kesenangan kepada kedua-dua orang tuanya apabila telah dewasa.

“Saya berasa amat gembira dan berpuas hati apabila hasil perniagaan yang diusahakan ini, saya dapat berbakti kepada ibu bapa.

“Melalui perniagaan ini juga, saya dapat berkongsi rezeki dan membantu rakan-rakan serta orang ramai untuk menjana pendapatan,” katanya ketika memulakan bicara bersama Aura.

Fida kini boleh tersenyum gembira apabila penat lelahnya mengusahakan perniagaan produk penjagaan rambut menerusi jenama HEADS telah mendapat sambutan yang baik.

Hasil perniagaan tersebut, Fida mampu meraih jualan sehingga jutaan ringgit.

Berbicara tentang penglibatannya dalam keusahawanan, Fida menjelaskan, dia terlebih dahulu bekerja di hotel sebelum terlibat dalam bidang tersebut.

Tambahnya lagi, pada masa sama, dia turut mengusahakan perniagaan menjual produk kecantikan, alat solek serta daging perap secara dalam talian.

“Walaupun perniagaan ini diusahakan secara kecil-kecilan, namun pendapatan yang saya peroleh lebih besar daripada gaji diterima ketika bekerja di hotel.

“Pada masa sama, tempat saya kerja mempunyai ‘politik’ tersendiri. Ini menguatkan lagi azam saya untuk berhenti dan mengusahakan perniagaan sendiri sepenuh masa,” jelasnya.

Sebelum mengambil keputusan berhenti kerja, Fida telah mendapatkan nasihat daripada ‘guru’ yang mengajarnya dalam perniagaan.

FIDA boleh berbangga apabila berjaya meraih pendapatan lumayan hasil jualan produk penjagaan rambut, HEADS.

Gurunya itu menasihati Fida supaya mempunyai simpanan tunai sekurang-kurangnya dalam tempoh enam bulan.

Sebelum Fida berhenti kerja pada hujung 2019, dia berjaya mengumpul simpanan tunai sebanyak RM27,000 dengan menjual pelbagai produk.

“Saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja pada awal 2020 sebelum pandemik Covid-19 melanda dunia.

“Pada masa sama, saya juga telah menjadi personal shopper untuk produk HEADS.

“Sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan, produk ini telah mendapat sambutan cukup menggalakkan.

“Jadi, saya telah bertemu dengan pengasas HEADS, sebelum dia menawarkan peluang kepada saya untuk menjadi pengasas bersama,” ulasnya.

Sejak itu, Fida terus memberi fokus menjual produk tersebut sehingga berjaya mencatatkan jualan sebanyak RM3.3 juta dengan bantuan lebih 200 ejen pada tahun 2020.

Pada tahun lalu, dia berjaya mencatatkan jualan RM14 juta. Jumlah ejen juga bertambah sehingga 4,000 orang di seluruh negara, Brunei serta Singapura.

“Melalui perniagaan ini, kami telah melahirkan tujuh orang jutawan. Ejen-ejen ini telah berjaya membuat jualan sehingga enam angka,” ujarnya.

Dalam pada itu, Fida memaklumkan, dia mengusahakan perniagaan tersebut bukan untuk diri sendiri semata-mata.

Sebaliknya, dia ingin berkongsi rezeki bersama orang ramai melalui sistem ejen dengan memberi komisen yang agak tinggi.

Walaupun Fida hanya bergelar pengasas bersama, namun hasil usaha kerasnya, dia telah diangkat menjadi pengasas untuk produk tersebut.

Fida mengakui, dia tidak menyangka bahawa perniagaannya itu berkembang dengan pantas sehingga berjaya mencatatkan jualan jutaan ringgit.

“Ini satu kejutan buat saya kerana ia sesuatu yang agak cepat. Saya sangat bersyukur di atas kurniaan rezeki daripada Tuhan ini.

“Saya fikir faktor utama perniagaan ini berkembang dengan begitu cepat adalah disebabkan niat awal saya untuk berkongsi rezeki,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN