LIVERPOOL – Pemain baharu Liverpool, Cody Gakpo akhirnya melengkapkan perpindahan sensasi ke Anfield dari PSV Eindhoven selepas kedua-dua pasukan bersetuju dengan yuran perpindahan mencecah £44 juta (RM234.54 juta).
Pemain antarabangsa Belanda itu mendedahkan, bek tengah Liverpool yang juga rakan sepasukan dalam skuad The Oranje, Virgil van Dijk menjadi faktor utama dia menyertai juara Eropah enam kali itu.
Gakpo berkata, mereka banyak bercakap menerusi telefon dan Van Dijk memujuknya dengan mengatakan Liverpool adalah pasukan yang tepat untuk dia mencapai potensi sebenar sebagai pemain berkelas dunia.
“Kami sering berhubung menerusi telefon dan dia (Van Dijk) banyak menghubungi saya ketika rundingan dilakukan. Van Dijk memberitahu, perpindahan ini adalah satu langkah tepat untuk saya.
“Liverpool adalah sebuah pasukan yang sangat besar dan boleh diibaratkan seperti keluarga. Saya adalah seseorang yang mementingkan semangat kekeluargaan, jadi ia sangat penting,” katanya.
Lebih manis, pemain berusia 23 tahun itu juga akan mewarisi jersi No. 18 yang pernah disarung oleh legenda kelab, Michael Owen serta bekas pemain antarabangsa Belanda, Dirk Kuyt.
“Saya sudah tidak sabar untuk memulakan perjalanan baharu bersama Liverpool dan menikmati suasana bermain di Anfield.
“Sasaran saya untuk memenangi seberapa banyak trofi dan membuktikan kemampuan sebenar,” ujar Gakpo. – AGENSI