fbpx

Guru, kerani rugi RM1.7 juta jadi mangsa scammer

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fisol Salleh (tengah) ketika sidang akhbar di IPK Pulau Pinang, di sini hari ini. IQBAL HAMDAN

GEORGE TOWN – Tiga wanita berusia antara 41 hingga 49 tahun terpaksa gigit jari apabila mengalami kerugian kira-kira RM1.7 juta akibat diperdaya sindiket Macau Scam, baru-baru ini.

Mangsa terdiri seorang kerani swasta yang kerugian kira-kira RM1.02 juta manakala dua lagi merupakan guru dari Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Selatan (SPS).

Guru berkenaan masing-masing mengalami kerugian RM439,000 dan RM203,200.

Ketiga-tiga mereka diperdaya sindiket Macau Scam yang mendakwa mangsa terlibat dalam pengubahan wang haram.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Fisol Salleh berkata, mangsa pertama iaitu seorang kerani sebuah syarikat swasta membuat laporan polis pada 19 Disember lalu, dan dia kerugian RM1,026,200 ditipu sindiket tersebut sejak Julai lalu.

“Wanita ini yang tinggal di Bukit Mertajam menggunakan wang insuran peninggalan mendiang suaminya serta wang simpanan untuk membuat pembayaran kepada sindiket tersebut menerusi pemindahan wang secara berperingkat ke 13 akaun yang berbeza.

”Suspek menghubungi mangsa dengan mendakwa dari Pos Malaysia lalu mengatakan terdapat bungkusan yang mengandungi kad pengenalan atas namanya sebelum talian disambung kepada pegawai polis,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Menurut Fisol, mangsa yang panik serta takut ditahan polis mengikut semua arahan suspek dan membuat pemindahan wang sehingga menyedari dirinya ditipu lalu membuat laporan polis pada 19 Disember lalu.

Mengulas lanjut, Fisol berkata, mangsa kedua membabitkan penipuan Macau Scam adalah seorang guru berusia 41 tahun yang mengalami kerugian RM203,200.

”Dia yang tinggal di Seberang Perai Selatan (SPS) dekat sini, membuat laporan polis pada 19 Disember lalu.

“Guru wanita ini mendakwa dia dihubungi sindiket tersebut sejak November lalu dan telah membuat pinjaman bank sebanyak RM190,000 serta menggunakan wang simpanannya untuk membayar kepada sindiket ini,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, mangsa terakhir juga guru berumur 47 tahun dan tinggal di Seberang Perai Utara membuat laporan polis pada 23 Disember lalu.

“Mangsa kerugian RM439,000 kerana ditipu sindiket Macau Scam yang menghubunginya pada 19 September lalu.

“Mangsa turut membuat pinjaman bank sebanyak RM300,000 untuk membayar kepada sindiket itu dan dia membuat 15 transaksi ke lapan akaun berbeza membabitkan jumlah kerugian RM439,000.

“Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan rangkaian sindiket penipuan itu dan tiga kes tersebut disiasat menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan mereka menggunakan modus operandi yang sama dalam ketiga-tiga kes,” katanya.

Sementara itu, katanya, sejak Januari hingga semalam, Polis Pulau Pinang merekodkan sebanyak 2,239 kes jenayah siber membabitkan kerugian RM79.5 juta dengan kes Macau Scam antara yang tertinggi direkodkan iaitu 921 kes dan sebanyak RM27.14 juta nilai kerugian. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI