SKUAD Harimau Malaya tidak perlu berduka terlalu lama kerana peluang untuk lolos ke peringkat separuh akhir Piala AFF 2022 masih lagi terbuka, tetapi dengan syarat, perlu melakar kemenangan ke atas Singapura Selasa depan.
Sebagai rekod, momentum cemerlang skuad kebangsaan kendalian Kim Pan-gon tidak dapat diteruskan susulan kekalahan 0-3 kepada Vietnam pada aksi ketiga Kumpulan B di Stadium My Dinh, Hanoi, Selasa lepas.
Pemain tengah Harimau Malaya, Brendan Gan percaya, barisan kejurulatihan akan membuat ‘kerja rumah’ sebaiknya bagi memperbaiki kesilapan yang telah dilakukan pada perlawanan lepas.
“Kita tidak boleh terlalu fikirkan kekecewaan lepas dan harus diakui Vietnam adalah pasukan yang bagus, tetapi kita juga telah menunjukkan kualiti pasukan, cuma nasib tidak menyebelahi pasukan untuk menyudahkan peluang terhidang.
“Saya pasti barisan kejurulatihan akan melakukan analisa perlawanan dan tunjukkan kepada apa yang kita boleh perbaiki pada perlawanan seterusnya (menentang Singapura nanti).
“Peluang pasukan masih ada kerana ini adalah saingan berbentuk kejohanan dan apa sahaja boleh berlaku,” kata kapten pasukan Selangor FC berusia 34 tahun itu.
Pasukan Harimau Malaya kini berharap dapat mara ke pusingan separuh akhir pada saingan Piala AFF kali ini selepas gagal berbuat demikian pada saingan musim 2020 selepas tersingkir di peringkat kumpulan.
Kali terakhir Malaysia menjulang trofi bola sepak paling berprestij Asia Tenggara itu adalah ketika edisi 2010 dengan menewaskan Indonesia 4-2 secara agregat di pentas final.
Skuad Singapura akan mengharungi aksi ketiga Kumpulan B menentang Vietnam di Stadium Jalan Besar, Singapura malam ini.