SAN FRANCISCO, CALIFORNIA – Pengguna-pengguna Twitter di seluruh dunia melaporkan tidak boleh mengakses platform itu selama beberapa jam, kata pemantau laman web perkhidmatan rangkaian media sosial itu.
Ia merupakan salah satu gangguan terbesar sejak bilionair, Elon Musk membeli platform itu pada harga AS$44 bilion (RM194.63 bilion), Oktober lalu.
Sejak beliau menguasai Twitter, beribu-ribu pekerja termasuk jurutera dipecat atau berhenti, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai keupayaan rangkaian perkhidmatan tersebut untuk menyelesaikan gangguan dan masalah teknikal dengan cepat.
Laman web DownDetector melaporkan peningkatan dalam isu itu bermula sekitar pukul 7 malam (waktu timur) dengan para pengguna tidak dapat menyemak pemberitahuan atau menggunakan fungsi lain di platform tersebut.
“Bolehkah sesiapa melihat ini atau Twitter rosak,” ciap seorang pengguna Twitter.
Pada kemuncak gangguan yang dilaporkan diselesaikan setakat pukul 12 tengah hari (waktu Malaysia), DownDetector mencatatkan lebih daripada 10,000 aduan di Amerika Syarikat manakala tanda pagar #TwitterDown menjadi ‘trending’ di platform itu.
Tambah DownDetector, masalah itu sebahagian besarnya menjejaskan pengguna yang menggunakan Twitter pada laman web.
Sekitar 10 peratus daripada aduan pula diterima daripada pengguna aplikasi di telefon bimbit.
Bagaimanapun, punca gangguan itu masih tidak diketahui. – AFP