fbpx

Kerajaan akui ada penipuan jualan murah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TAKTIK jualan murah yang dibuat oleh peniaga bukan satu modus operandi baharu kerana dilakukan bagi melariskan jualan. – GAMBAR HIASAN

PUTRAJAYA – Sebanyak 703 aduan berhubung taktik jualan murah diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) antara 1 Januari hingga 27 Disember 2022.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Azman Adam berkata, taktik jualan murah itu bukanlah modus operandi baharu, meman­dangkan kaedah tersebut sering digunakan peniaga bagi melariskan jualan masing-masing.

“Taktik itu sebenarnya bukanlah satu modus operandi baharu oleh peniaga kerana penjualan barangan dengan harga jualan murah tidak melibatkan bara­ngan dikawal.

“Jadi, taktik tersebut boleh dikatakan sebagai strategi peniaga untuk melariskan jualan dengan kerugian yang minimum,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Kosmo! berhubung temberang diskaun jualan murah sehingga 70 peratus yang ditawarkan peniaga kepada pengguna walaupun harga tersebut merupakan harga sebenar.

Mengulas lanjut, Azman berkata, peniaga yang ingin melakukan jualan murah perlu memohon kebenaran daripada pihak KPDN dan perlu mempamerkan notis jualan murah di tempat mudah dilihat di premis mereka setelah permohonan diluluskan.

“Apabila notis jualan murah dipamerkan, ia menunjukkan peniaga terbabit telah meme­nuhi syarat ditetapkan sebelum kelulusan dikeluarkan.

“Setiap permohonan yang dihantar juga perlu dikemukakan harga sebelum dan selepas diskaun. Selain itu, tanda harga yang dipamerkan juga perlu dinyatakan dengan jelas harga sebelum dan selepas diskaun,” katanya.

Azman menambah, KPDN juga sentiasa mengambil tindakan proaktif dengan menjalankan pemeriksaan dan pemantauan serta bertindak ke atas aduan yang diterima tanpa gagal.

“Sepanjang tahun 2022, sebanyak 29 kes telah dihasilkan kerana melanggar Peraturan-Pe­raturan Perihal Dagangan (Harga Jualan Murah) 1997 dan daripada jumlah itu sebanyak 24 kes di bawah kesalahan tidak memohon kebenaran atau notis jualan murah.

“Mana-mana orang yang me­lakukan kesalahan di bawah ­Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Harga Jualan Murah) 1997 iaitu tidak memohon kebenaran atau notis jualan murah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 bagi pertubuhan perbadanan, manakala bagi bukan suatu pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM50,000,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI