fbpx

851 bangunan milik rakyat Palestin dirampas, roboh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jengkaut milik pihak berkuasa Israel meroboh dua rumah milik rakyat Palestin di bandar Hebron, Tebing Barat pada 28 November lalu. - AFP

BAITULMUQADDIS – Sebanyak 851 struktur bangunan milik rakyat Palestin telah dimusnahkan atau dirampas oleh pihak berkuasa Israel dalam tempoh 11 bulan tahun ini sekali gus menjadikan 966 orang kehilangan tempat tinggal atau premis diduduki, lapor agensi berita WAFA kelmarin.

Data dikeluarkan Pejabat Koordinasi Hal Ehwal Manusia (OCHA) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di wilayah Palestin yang ditakluki itu mendedahkan, kadar bulanan bagi struktur bangunan yang dimusnahkan atau dirampas meningkat satu peratus berbanding kadar bulanan tahun lalu.

Pada November sahaja, OCHA berkata, sebanyak 123 bangunan milik rakyat Palestin telah diroboh atau dirampas di sekitar Tebing Barat termasuk Baitulmuqaddis Timur.

Ia merupakan peningkatan 68 peratus berbanding kadar bulanan sepanjang 10 bulan pertama tahun ini.

Sebanyak 108 struktur yang disasarkan pada November terletak di Kawasan C di Tebing Barat, kawasan yang dikuasai tentera Israel.

Sebanyak 13 lagi terletak di Baitulmuqaddis Timur yang ditakluki Rejim Zionis serta dua di Kawasan B Tebing Barat, yang berada di bawah pentadbiran awam Palestin dan pihak keselamatan Israel.

Akibatnya, seramai 109 orang termasuk 58 kanak-kanak kehilangan tempat tinggal manakala mata pencarian atau akses kepada perkhidmatan-perkhidmatan dalam kalangan 382 orang lagi terjejas.

Kesemua kecuali dua struktur bangunan tersebut dikatakan tidak mempunyai permit, iaitu sesuatu yang amat mustahil untuk diperoleh penduduk Palestin.

Enam daripada struktur tersebut menjadi lokasi untuk pengedaran bantuan kemanusiaan, kata agensi PBB tersebut.

Daripada semua struktur yang terlibat di Kawasan C pada November, lapan daripadanya dimusnahkan atau dirampas oleh pihak berkuasa Israel tanpa sebarang amaran sekali gus menghalang pemiliknya daripada membuat bantahan awal.

Pentadbiran Awam Israel menggelar amalan tersebut sebagai ‘langkah strategik’.

Selain itu, antara yang dimusnahkan adalah sekolah-sekolah yang dibiayai penderma Kesatuan Eropah (EU) di Hebron selatan.

Rejim Zionis turut memaksa pemilik beberapa kediaman memusnahkan rumah mereka sendiri bagi mengelak daripada dikenakan bayaran denda oleh pihak berkuasa Israel. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI