fbpx

LRT Setiawangsa lokasi remaja susah cari rezeki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHAMMAD ILHAM melayan seorang pelanggan yang datang untuk membeli nasi lemak dan pulut panggang ketika ditemui di Stesen LRT Setiawangsa kelmarin.

KUALA LUMPUR – Seorang remaja bukan sahaja sanggup membuang rasa malu, malah tidak pernah merasa penat atau bosan membantu ibunya menjual nasi lemak dan pulut panggang di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Setiawangsa di sini sejak berusia 10 tahun.

Mohammad Ilham Mohd. Fazil, 16, berkata, dia terkesan apabila melihat kesungguhan ibu­nya, Rita Amri, 42, mencari rezeki untuk membesarkan mereka empat beradik walaupun wanita itu menghidap penyakit darah tinggi.

Katanya, dia mula berniaga pada pukul 4 petang setiap hari selepas waktu persekolahan de­ngan pendapatan kasar RM350.

“Saya kini berada pada tingkatan empat walaupun sebelum ini tidak mendapat pendidikan pada usia 13 dan 14 tahun. Saya mahu menjadi kru pelantar mi­nyak bagi membanggakan ibu.

“Rutin harian saya ialah sebaik pulang sekolah, saya akan membantu ibu membakar pulut, memotong daun pisang sebelum mula berniaga pada pukul 4 petang di LRT Setiawangsa,” kata­nya kepada Kosmo!.

Menurut Mohammad Ilham, dia tidak pernah mengambil upah sebaliknya menyerahkan sepenuhnya hasil jualan kepada ibunya yang bersusah payah ba­ngun awal pagi untuk memasak bagi keperluan mereka lima beranak.

Tambahnya, walaupun ibunya sakit darah tinggi, wanita itu enggan ke hospital kerana tidak mahu kelihatan sakit di hadapan anak-anaknya.

“Tiada lain yang saya harapkan melainkan doa dan restu ibu serta usaha saya untuk menjadi kru pelantar minyak,” katanya.

Sementara itu, Rita berkata, kehidupannya menjadi sukar selepas bercerai dengan suami pada 2014 dan perlu membesarkan empat anaknya yang kini berusia antara 16 hingga 20 tahun selain perlu membayar sewa rumah RM400 sebulan.

Katanya, dia mahu anak-anaknya meneruskan cita-cita mereka tetapi apakan daya ada yang perlu membantunya kerana kekurangan pendapatan.

“Hasil bulanan RM1,500 hingga RM2,000 bagi saya cukup untuk kami teruskan kehidupan lima beranak. Untuk dapatkan pulangan seperti itu saya perlu bekerja setiap hari termasuk menjaga anak,” katanya yang merupakan asnaf.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam di nombor 14210020227345 (Muhammad Firdaus Mohd Fazil) atau hubungi Rita di talian 014-709 4274 untuk tempahan makanan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI