PETALING JAYA – Niat untuk berkongsi foto momen bahagia bersama keluarga ketika bercuti dan dimuat naik di media sosial nampaknya tidak mendapat ‘tuah’ yang diingini.
Melalui satu perkongsian di Facebook Md Iruan menjelaskan, gambar dia dan keluarganya telah dimanipulasi oleh kenalan di media sosial yang tidak bertanggungjawab.
Jelas hantaran tersebut, gambarnya telah digunakan sebagai bahan ‘santau’ oleh salah seorang kenalan di media sosialnya bagi memisahkan hubungan dengan isterinya.
“Pada yang buat benda ni terima lah balasan tuhan nanti. Setahu aku, aku tak ada pun musuh, tekejut aku kelmarin buka-buka sampul surat dapat benda macam ni. Gambar ni aku tahu kau ambil dalam Facebook aku.
“Aku tahu kau ikut perkembangan aku dalam Facebook dan aku tidak akan balas perbuatan mu ni, tapi mu kena ingat kuasa tuhan lebih dari segala-galanya,” tulis hantaran tersebut.
Tambah lelaki itu lagi, kalau terjadi apa-apa ke atas keluarganya si pelaku yang tidak bertanggungjawab itu perlu tanggung akibatnya.
“Tuhan maha adil, kau buat nak suruh aku dengan isteri aku berpisah dan kau nak isteri aku jadi gila tapi kau ingat, kalau tuhan tak izin benda ni tidak akan jadi.
“Aku minta doa dengan tuhan supaya tuhan tunjuk dan azab sesiapa yang sanggup buat macam ni kepada keluaga aku. Aku tak takut mati sebab mati tu pasti kepada setiap yang hidup, tapi aku minta dengan tuhan panjangkan umur aku sebab amalan aku masih tidak cukup,” tulisnya. – KOSMO! ONLINE.