fbpx

Lima sahabat didenda RM5,000, belasah lelaki dakwa rogol kenalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kelima-lima tertuduh diiringi anggota polis selepas didakwa di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka, hari ini.

MELAKA – Gara-gara mengesyaki kenalan wanita dirogol, lima bersahabat didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku salah membelasah seorang lelaki sehingga cedera dan merusuh pada 10 Disember lalu.

Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Nur Aishah Mohammad Najib, 21; Muhammad Asyraf Mohd Ali, 21; Hafizul Fazrin Abdul Hakim, 22; Ahmad Thahaa Jasni, 21 dan Muhammad Safuan Mohamed Taib, 21.

Kesemua tertuduh membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didapati bersama-sama yang masih bebas sebagai anggota perhimpunan yang menyalahi undang-undang dalam melaksanakan tujuan bersama perhimpunan tersebut, kekerasan telah digunakan oleh satu atau lebih dari mereka.

Perbuatan itu telah menyebabkan kecederaan ke atas seorang lelaki berusia 17 tahun kira-kira pukul 10 malam di belakang Sekolah Menengah Kebangsaan Klebang Besar, dalam daerah Melaka Tengah, pada 10 Disember lalu.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pengadu telah berjumpa dengan semua tertuduh di lokasi kejadian sebelum dipukul secara beramai-ramai kerana mengesyaki dia telah merogol kenalan tertuduh.

Terdahulu, kesemua tertuduh yang diwakili Peguam, Ishak Mohd. Kari memohon agar hukuman berbentuk denda yang ringan dapat diberikan dengan alasan anak guamnya telah insaf selepas direman selama tiga hari, selain pendapatan rendah.

Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada semua tertuduh dan masyarakat.

Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, Sharda menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM1,000 bagi setiap tertuduh atau penjara dua bulan jika gagal bayar. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI