PUTRAJAYA – Dataran Putra, Presint 1, di sini kerap menjadi tumpuan pelancong sama ada dari dalam dan luar negara namun, ada sisi tidak enak disebaliknya.
Buktinya, Program Kutip Sampah Sambil Riadah (KUDAH) anjuran Universiti Utara Malaysia (UUM) bersama SWCorp semalam berjaya mengutip 70 kilogram (kg) sisa sampah dengan 80 peratus daripadanya boleh dikitar semula.
Lebih mendukacitakan, lebih 1,128 puntung rokok berjaya dikumpulkan yang kebanyakannya ditemui di celah-celah pokok landskap di dataran berkenaan.
Pengarah SWCorp Wilayah Persekutuan, Ummi Kalthum Shuib berkata, seramai 70 sukarelawan dari UUM, SWCorp, Alam Flora dan Kelab Anggun Putrajaya menyertai KUDAH semalam.
“Selepas 40 minit program, sebanyak 70 kg sisa berjaya dikutip dan ia menunjukkan bahawa masih ramai orang awam tidak mengitar semula, dan membuang sampah merata-rata.
“Sisa lain yang dipungut adalah plastik (24 kg), getah/kulit (6 kg), besi (7 kg), kertas (10 kg) , e-waste (3 kg) lain-lain sisa (20 kg), puntung rokok ( 1,128 puntung),” katanya di sini tadi.
Katanya, pihaknya menasihatkan pelancong yang berkunjung ke Dataran Putra supaya bersama-sama memainkan peranan dalam menjaga kebersihan di pusat pelancongan itu. – KOSMO! ONLINE