KUALA LUMPUR – Seorang kakitangan sebuah premis di Tingkat 7, Kompleks Beli-Belah Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini disahkan positif Covid-19 selepas ujian saringan yang dilakukan semalam.
Pengurusan Sogo Kuala Lumpur dalam satu kenyataan berkata, kakitangan yang bekerja di premis penyewa, All IT Hypermarket itu tidak hadir bekerja sejak 12 Oktober lalu dan kini sedang berada di bawah pemantauan pihak berkuasa.
Katanya, pihak pengurusan telah mengambil langkah keselamatan awam segera dalam usaha menghadkan sebarang potensi berisiko.
“Sebagai langkah berjaga-jaga dan pematuhan kepada garis panduan Kementerian Kesihatan (KKM), kami telah menutup serta-merta premis All IT Hypermarket dan seluruh tingkat 7 pada hari ini untuk proses sanitasi dan pembersihan kawasan sekitar.
“Kami juga telah mengesan kontak rapat kakitangan berkenaan melalui daftar masuk QR dan kesemua rakan sekerja pesakit sudah menjalani ujian dan kuarantin kendiri,”katanya di sini hari ini.
Tambahnya, tingkat bawah LG sehingga tingkat 6, Kompleks Beli-Belah Sogo masih beroperasi seperti biasa.
“Kami akan meneruskan langkah pencegahan dan berjaga-jaga kerana keselamatan para pekerja serta orang awam adalah keutamaan kami.
“Pihak kami juga bekerja rapat dengan semua pihak berkaitan bagi mengambil langkah yang diperlukan,” jelasnya.-K! ONLINE