Penyakit tiga serangkai iaitu sakit jantung, diabetes dan tekanan darah tinggi menduduki senarai teratas penyakit popular yang sering menyerang manusia zaman moden ini.
Jika salah satu penyakit yang menyerang, kita amat bernasib baik, tetapi sekiranya ketiga-tiga sekali gus hinggap dalam badan, pesakit perlu berwaspada.
Bagaimanapun, ada satu lagi penyakit yang ramai dihidapi rakyat negara iaitu penyakit malas bersenam.
Cuma sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berfasa lebih setahun, ramai rakyat yang tiba-tiba rajin bersenam.
Berjoging dan berbasikal adalah aktiviti riadah paling meriah di taman-taman rekreasi atau di jalan raya.
Hampir setiap pagi dan petang, malah malam pun masih ada yang beriadah.
Ketika itu, jualan peralatan sukan dan basikal laku keras kerana hanya itu aktiviti dibenarkan dan mampu menggembirakan hati rakyat yang dilarang merentas daerah dan negeri.
Namun, sejak pelaksanaan PKP berakhir dan rakyat bebas ke mana-mana sahaja terutama boleh pergi bercuti dan pulang ke kampung, penyakit malas bersenam kembali semula.
Jika dilihat di atas jalan raya, tidak ramai lagi yang berbasikal. Begitu juga di taman-taman rekreasi, hanya mereka yang tegar masih berjoging.
Sebahagian besar yang lain pergi melancong, makan angin atau lebih suka berkonvoi menunggang motosikal atau memandu kereta.
Mungkin aktiviti rekreasi sebegini bermusim sahaja. Habis trend, ramai yang ‘lelong’ basikal daripada tergantung begitu sahaja, lebih menyakitkan mata apabila menjadi tempat sangkut pakaian.
Tidak mustahil, jumlah rakyat yang mengalami obes akan meningkat. Sudahlah malas bersenam, pemakanan juga tidak dijaga. Selagi bernafsu, selagi itu segala makanan berlemak tinggi, manis atau masin ditelan sahaja.
Hasil Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 mendapati, sebanyak 50.1 peratus daripada orang dewasa mengalami berat badan berlebihan dan obes.
Penemuan data ini sememangnya tidak menggembirakan kerana ia menunjukkan berlakunya tren peningkatan berbanding kajian sama tahun sebelumnya.
Justeru, sesibuk mana pun urusan seharian terutama tugasan kerja yang padat, pandai-pandai curi masa untuk mengeluarkan peluh.
Semakin berusia, makin banyak penyakit yang menunggu. Gaya hidup dan amalan pemakanan yang dilakukan ketika ini akan menentukan tahap kesihatan pada masa hadapan.