fbpx

‘Sanggup tinggal sendirian untuk lawat kubur ayah’ – Awie

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AWIE melawat kubur arwah ayah angkatnya di Tanah Perkuburan Kampung Pupuh, Ampangan, Seremban. FOTO : NOR SHAFAWATI YUP.

SEREMBAN – Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun sanggup tinggal sendirian di rumah peninggalan bapa angkatnya supaya dapat melepaskan ‘rindu’ dengan melawat kubur arwah di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pupuh, Ampangan di sini setiap hari.

Muhammad Syakawie Abdullah, atau mesra dengan panggilan Awie berkata, bapa angkatnya, Azman Aziz, 50, dijemput ilahi pada 24 November lalu akibat serangan jantung.

“Saya tak takut dan selesa tinggal sendiri di rumah ini, memang saya rapat dengan ayah dan kami memang tinggal berdua sejak saya kecil lagi.

“Apabila ayah sudah tiada memang rasa kehilangan besar, sebab saya selalu bergurau dan masak bersama ayah, malah saya selalu ikut ayah bekerja sebagai pemandu lori di sekitar Seremban,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pupuh, Ampangan di sini hari ini.

Awie yang bersekolah sehingga Tingkatan Tiga berkata, menjadi rutin hariannya melawat kubur arwah bapanya yang terletak kira-kira 60 meter dari rumah bagi melepaskan rindu.

Menurut Awie, dia tidak menyangka bapanya pergi terlalu awal dan arwah sempat berpesan supaya belajar berdikari dan berubah menjadi lebih baik pada malam sebelum ayahnya meninggal dunia.

“Saya bermimpi ayah terjatuh dan terus keluar dari bilik mencari ayah, tengok dia sudah terbaring kaku.

“Saya cuba hubungi kawan-kawan dan saudara terdekat ayah untuk membantu menguruskan jenazah,” katanya yang kini menumpang kasih dengan keluarga kakak ayahnya, Faridah Aziz, 51, yang sudah dianggap seperti keluarga sendiri.

Faridah berkata, Awie dijaga oleh ibunya sejak dari kecil sebelum diserahkan kepada adik bongsunya, Azman yang menunaikan tanggungjawab menjaga Awie dengan baik.

“Sekarang saya mengambil tanggungjawab untuk jaga Awie tengokkan keadaan dia, Awie sendiri hendak tinggal di rumah ini kerana dekat dengan kubur arwah,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Jiboi Baru, Abd Razak Mohd. Idrus berkata, kisah Awie turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan, Dr. Mohamad Rafie Ab Malek yang turut melawat dan menghantar bantuan keperluan nya.

Jelas Abd Razak, pihaknya kini dalam proses menguruskan permohonan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Baitulmal untuk Awie.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Faridah di talian 010-2493282 atau melalui akaun Maybank Faridah Aziz 155015437271. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI