PETALING JAYA – Selepas lebih dua minggu, sebuah syarikat pengurusan acara selaku penganjur masih belum melangsaikan bayaran persembahan kepada Caliph Buskers sebanyak RM10,000
Bahkan, syarikat tersebut meminta tempoh dilanjutkan sehingga akhir tahun ini.
Pemain dram kumpulan itu, Fendly Adlun berkata, permintaan tersebut disuarakan kepada pengurus mereka ketika kali terakhir berkomunikasi dengan wakil pihak berkaitan beberapa hari lalu.
Katanya, sejak isu bayaran menjadi isu, tiada satu sen pun dilunaskan pihak penganjur untuk persembahan Caliph Buskers yang berlangsung di Pulau Pinang pada 9 dan 10 Disember lalu.
“Pengurus memaklumkan penganjur mempunyai masalah kewangan. Mereka minta tangguh sehingga akhir tahun yang sebenarnya tinggal tiga hari saja ke ambang 2023.
“Ini sudah kali keenam mereka minta tangguh sejak kami selesaikan persembahan. Keadaan ini membuatkan saya secara peribadi berasa terkilan,” katanya.
Tambah Fendy, sebelum ini dia dan anggota kumpulan lain bertolak ansur sehinggakan rela mengeluarkan wang sendiri bagi kos pengangkutan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang.
“Duit pengangkutan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang berjumlah RM300 pun kami keluarkan duit sendiri sebelum ini.
“Pihak berkenaan pun kena faham, kami juga ada mulut perlu disuap, bil kena bayar. Jadi jangan ambil kesempatan atas budi bicara orang. Kalau kami dapat bertolak ansur, harapnya jangan lagi mungkir,” katanya kepada Kosmo! Online.
Ditanya mengenai tindakan undang-undang andai belum nampak jalan penyelesaian, akui Fendy lagi semua itu perlu dibincangkan secara kolektif membabitkan seluruh ahli kumpulan.
“Soal tindakan selanjutnya kita akan maklumkan secara bersama. Mungkin pada orang lain jumlah sebegitu nampak kecil, bagi saya itulah sandaran untuk kelangsungan hidup.
“Cuma saya minta kepada rakan seperjuangan lain supaya lebih berhati-hati selain memperincikan perjanjian secara hitam putih bagi mengelakkan berdepan isu sama,” katanya yang mengakui pernah tiga kali melalui insiden serupa.
Terdahulu, rayuan kumpulan yang dibarisi anggota kurang upaya penglihatan itu yang belum menerima jumlah bayaran dijanjikan penganjur menerusi Instagram dan Facebook tular minggu lalu.
Rata-rata simpati dengan nasib kumpulan itu yang sepatutnya sudah menerima bayaran penuh sejurus persembahan selesai.
Selain Fendy, Caliph Buskers turut dianggotai Azmi Saat sebagai vokalis, Zaki Ismail (pemain gitar bass) dan Nirwan Zainalabidin (pemain gitar). – KOSMO! ONLINE