fbpx

Sistem Reban Tertutup atasi masalah lalat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Zolkafly (kanan) bercakap pada sidang DUN di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh hari ini

IPOH – Kerajaan negeri melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) akan menguatkuasakan Sistem Reban Tertutup bagi mengatasi isu lalat yang menyebabkan ketidakselesaan kepada penduduk.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Mohd. Zolkafly Harun berkata, sistem tersebut akan dikuatkuasakan pada 1 Januari 2026.

“Semua pengusaha unggas di Perak diminta menuju ke arah Sistem Reban Tertutup yang akan dikuatkuasakan pada 1 Januari 2026.

“Penguatkuasaan itu adalah lanjutan daripada keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri bertarikh 8 Jun 2022 sebagai salah satu langkah untuk mengatasi isu kacau ganggu lalat,” katanya ketika menjawab soalan lisan Muhammad Faisal Abdul Rahman (Pas-Trong) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.

Menurut beliau, kerajaan negeri melalui JPV juga telah mengambil inisiatif untuk mengatasi masalah kacau ganggu lalat dengan penguatkuasaan Enakmen Perladangan Unggas Negeri Perak 2005 dan Peraturan-Peraturan Pengawalan Perladangan Unggas (Lesen) 2010.

Bahkan katanya, antara tindakan yang diambil oleh agensi itu adalah dengan meningkatkan kekerapan pemantauan di kawasan aduan dan dikenakan kompaun kepada ladang-ladang penternakan ayam dan itik yang tidak mematuhi syarat- syarat di bawah enakmen tersebut.

“Di samping itu juga, JPV turut mengeluarkan arahan pembatalan lesen menternak unggas kepada ladang-ladang yang bermasalah.

“Inisiatif-inisiatif dan langkah yang diambil ini akan memberi kesedaran dan pengajaran kepada pengusaha yang tidak menepati syarat-syarat yang ditetapkan dalam enakmen berkenaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI