KUALA TERENGGANU – Sektor penternakan di Terengganu merekodkan kerugian lebih RM3.47 juta akibat kematian 43,789 ekor haiwan ternakan akibat banjir buruk melanda negeri ini baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu, Dr. Anum Man berkata, selain kematian ternakan, pelbagai infrastruktur milik penternak termasuk kandang serta peralatan lain turut dilaporkan rosak akibat bencana berkenaan.
Beliau berkata, ternakan ayam merekodkan jumlah kematian tertinggi iaitu sebanyak 37,612 ekor diikuti puyuh (4,000), itik (1,442), lembu (502), kambing (142), biri-biri (64), kerbau (20) dan rusa (tujuh).
“Sehingga kini, JPV negeri telah menerima sebanyak 712 laporan dari penternak berhubung kerugian yang mereka alami.
“Daerah yang paling teruk terjejas ialah Besut diikuti Setiu dan Kemaman. Kita menasihatkan semua penternak terjejas agar tampil segera membuat laporan bagi membolehkan penilaian kerugian boleh dibuat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Anum berkata, antara punca kematian semua haiwan ternakan itu ialah kandang ditenggelami air, dihanyutkan arus deras dan kesejukan melampau akibat hujan berterusan.
“Ramai penternak mengakui mereka tidak menyangka akan mengalami kerugian begitu besar berbanding tahun-tahun sebelum ini.
“Paras air sangat tinggi dan naik dalam masa yang singkat menyebabkan ramai penternak tidak sempat menyelamatkan haiwan ternakan mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE