fbpx

K2

Elak penyakit ketika musim banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bencana banjir bukan saja memusnahkan harta benda, bahkan berupaya meningkatkan risiko jangkitan penyakit.

SEBAHAGIAN Kelantan dan Terengganu telah dilanda banjir sejak awal Disember lalu. Bah turut dilaporkan terjadi di beberapa negeri lain.

Banjir bukan sahaja menyebabkan kerosakan harta benda tetapi boleh juga menyebabkan penyakit, malah kehilangan nyawa.

Air banjir mengakibatkan sampah sarap, lumpur, takungan najis dan kuman-kuman yang berada di dalam tanah keluar bersama-sama limpahan air.

Banjir juga menyebabkan sumber air bersih tercemar dan mengganggu sistem perparitan dan kumbahan.

Penyakit berjangkit lebih kerap berlaku semasa atau selepas banjir disebabkan beberapa faktor.

Pertama, berkaitan dengan kulit. Luka pada kulit kerap berlaku dalam kalangan mangsa dan petugas semasa menyelamatkan diri atau semasa aktiviti pembersihan.

Kulit yang luka mudah dijangkiti kuman dan menyebabkan kemerahan dan bernanah.

Jangkitan yang disebabkan oleh bakteria Burkholderia pseudomallei perlu diberi perhatian kerana boleh menyebabkan jangkitan serius terutamanya dalam kalangan penghidap kencing manis.

Bakteria berkenaan boleh didapati di tanah dan air yang tercemar terutama selepas hujan dan banjir.

Faktor kedua ialah berkaitan pengambilan makanan dan minuman yang tercemar, menyebabkan jangkitan gastroenteritis (sakit perut, cirit birit).

Jangkitan ini agak kerap berlaku kerana kekurangan bekalan air bersih semasa banjir.

Antara bakteria penyebab ialah Salmonella sp. dan E coli. Jangkitan Hepatitis A, kepialu dan taun turut dilaporkan.

Ketiga, keadaan sesak di pusat pemindahan banjir memudahkan tersebarnya jangkitan pernafasan seperti batuk selesema, influenza dan juga Covid-19.

Selepas banjir surut pula, pengumpulan sampah yang banyak dan kawasan yang kotor juga menyumbang kepada kehadiran haiwan seperti tikus.

Penyakit kencing tikus boleh berlaku disebabkan terdedah kepada najis tikus, air atau tanah yang tercemar dengan bakteria leptospira.

Disebabkan tempoh inkubasi yang panjang, gejala jangkitan hanya berlaku kira-kira selepas dua minggu.

Air bertakung selepas banjir juga berpotensi sebagai tempat pembiakan nyamuk Aedes.

Ini meningkatkan risiko demam denggi.

Lantas, meningkatkan tahap kebersihan diri serta memastikan makanan dan minuman tidak tercemar ketika musim banjir perlu diutamakan untuk mengurangkan risiko mendapat penyakit bawaan air dan makanan.

Semasa berada di rumah yang mengalami banjir, orang dewasa dan anak-anak perlu mengelak daripada bermain air banjir.

Jika perlu mengharungi air banjir untuk ke tempat selamat, cuba pastikan memakai pakaian yang sesuai iaitu baju lengan panjang, seluar panjang, ‘face shield’ atau ‘goggle’ serta kasut bertutup atau kasut but untuk mengurangkan risiko air banjir atau kotoran terkena kulit dan memasuki mata.

Jika terdapat luka pada kulit, tutup dengan plaster kalis air atau plastik. Segera menukar pakaian yang terkena air banjir dan mandi.

Pastikan air yang diminum bersih dan dimasak sempurna atau minum air yang dibotolkan.

Sentiasa makan makanan yang dimasak dan masih panas.

Jika makan buah, kupas kulit dan elakkan makan makanan mentah.

Jaga kebersihan diri dan persekitaran, sentiasa basuh tangan dengan sabun dan air yang bersih, gunakan tandas yang sempurna dan buang sampah di tempat yang betul.

Dapatkan rawatan segera sekiranya mengalami demam, cirit-birit, muntah dan sebagainya.

Kebersihan dan keselamatan diri juga perlu dijaga semasa berada di pusat pemindahan.

Keadaan yang sesak memudahkan penyebaran penyakit yang berjangkit melalui udara dan titisan pernafasan.

Jika mempunyai gejala batuk, pakailah pelitup muka. Tangan perlu kerap dibasuh terutama sekali setelah menggunakan tandas dan sebelum makan.

Pastikan anda makan dan minum dari sumber yang dimasak sempurna dan bersih.

Setelah banjir surut, tibalah masanya untuk mencuci rumah dan kawasan sekitar.

Kuman-kuman juga boleh terdapat pada lumpur.

Justeru orang ramai disaran supaya menggunakan alat pelindung diri seperti but getah dan sarung tangan getah semasa aktiviti pembersihan.

Sampah sarap pula perlu dibuang di tempat yang betul bagi mengelakkan risiko penyakit, pembiakan vektor pembawa penyakit seperti tikus, nyamuk dan lain-lain.

Perlu juga dipastikan tiada tempat yang boleh menakung air seperti plastik dan tin-tin minuman.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI