KUALA TERENGGANU – Fenomena air pasang besar yang melanda Terengganu baru-baru turut menjejaskan laluan pejalan kaki berhampiran Jambatan Angkat Kuala Terengganu di sini.
Hakisan di laluan tumpuan ramai khususnya pelancongan sepanjang 50 meter itu bukan sahaja merosakkan laluan pejalan kaki malah beberapa lampu jalan.
Seorang pengunjung, Khuzairi Mohd. Rozali, 20, berkata, hakisan itu sering berlaku pada monsun Timur Laut dan semakin seriua sejak dua tahun lalu.
“Kesan hakisan ini bukan baharu tetapi berlaku sedikit demi sedikit sejak dua tahun lalu.
“Sayangnya sebab kurang cakna pihak berkuasa, kerosakannya melarat pada musim tengkujuh kali ini. Saya tahu sebab sering berkunjung untuk memancing,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.
Khuzairi berkata, hakisan itu jika terus dibiarkan boleh mengundang bahaya kerana ia merupakan tumpuan pelancong.
Jelasnya, pada waktu siang, laluan itu menjadi lokasi tumpuan berswafoto berlatar belakang Jambatan Angkat Kuala Terengganu manakala malamnya pula dipenuhi kaki pemancing.
“Ia juga berdekatan dengan lokasi food truck (kenderaan saji) yang biasanya dipenuhi ramai pada hujung minggu,” katanya. – KOSMO! ONLINE.