fbpx

80 tahun masih tepati cita rasa rakyat Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JUS jenama Sunquick merupakan salah satu produk utama yang sudah berada di pasaran selama 50 tahun.

SEBUT sahaja produk jus Sunquick dan gula-gula Hacks, pasti ramai yang mengenalinya sekali gus menjadi pilihan rakyat Malaysia sejak berpuluh tahun lamanya.

Pun begitu, di sebalik kejayaan kedua-dua jenama popular tersebut mengekalkan barisan produknya untuk terus berada di pasaran, pasti ada ‘insan’ penting yang berperanan dalam memastikan empayar perniagaan yang dibangunkan terus bertahan.

Memasuki ulang tahun ke-80 Kumpulan Barkath Co-Ro Manufacturing Sdn. Bhd. (Barkath) tahun ini, pelbagai kisah, perit jerih dan rencam telah dilalui syarikat pengeluar jus ternama negara itu.

Bagi berkongsi dengan lebih lanjut perjalanan dan kejayaan syarikat, wartawan Kosmo! Ahad, SAIRUL ZAMRI MISRANI menemu bual Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Barkath, Datuk Seri Barkath Ali Abu Backer baru-baru ini.

KOSMO! AHAD: Boleh Datuk Seri cerita mengenai sejarah dan latar belakang penubuhan Kumpulan Barkath?
BARKATH ALI: Kumpulan Barkath telah ditubuhkan oleh Allahyarham bapa saya, Abu Backer Mohd. Hussain pada tahun 1940. Bermula hanya dengan sebuah kedai runcit di Pulau Pinang, ia kemudian berkembang menjadi sebuah syarikat pembuatan terkemuka.

Perkembangan Kumpulan Barkath bermula apabila terdapat permintaan dan pasaran yang tinggi bagi jenama import dalam kalangan penduduk tempatan.

Mempunyai wawasan yang tinggi, Allahyarham bapa mengambil peluang ini untuk membawa masuk jenama-jenama import ke pasaran tempatan.

Digemari isi rumah di Malaysia sejak berpuluh tahun lalu, Sunquick diperkenalkan oleh Kumpulan Barkath ke pasaran tempatan pada tahun 1970.

Dek kerana rasa Sunquick yang sesuai dengan cita rasa rakyat Malaysia, maka wujud permintaan tinggi sekali gus memberi peluang kepada Kumpulan Barkath untuk membina kilang bagi pengeluaran tempatan.

Pada tahun 1991, Kumpulan Barkath telah merekodkan satu lagi kejayaan apabila menandatangani kerjasama dengan Co-Ro bagi membentuk syarikat kerjasama yang dikenali sebagai
Barkath Co-Ro Manufacturing Sdn. Bhd. sekali gus menjadikan kami sebagai pengeluar rasmi Sunquick bagi pasaran Malaysia, Singapura dan Brunei.

Sepanjang 80 tahun penubuhan syarikat, apakah antara cabaran terbesar terutama mengekalkan jenama di bawah Barkath Group untuk terus berada di pasaran?
Sunquick merupakan salah satu produk terkenal bagi Kumpulan Barkath. Sejak dipasarkan di Malaysia, terdapat juga jenama pesaing lain yang turut memasarkan produk di bawah segmen yang sama.

Namun begitu, menerusi moto yang diguna pakai sejak zaman pengurusan Allahyarham bapa saya dan diterapkan juga oleh rakan kongsi, kami sentiasa komited memikirkan mengenai kemahuan dan cita rasa pelanggan.

Kumpulan Barkath berpegang teguh terhadap moto ini dan secara tidak langsung menyumbang kepada nilai teras kami iaitu menjadi sebuah syarikat yang terus berkongsi saat-saat gembira bersama keluarga dan rakan-rakan.

Selain itu, untuk kekal relevan dalam kalangan pelanggan seiring dengan peredaran masa, Sunquick juga memperkenalkan pelbagai perisa baharu menerusi produk kami bagi memenuhi permintaan pasaran.

Sehingga kini, berapa barisan produk yang dikeluarkan di bawah Kumpulan Barkath dan melibatkan berapa negara?
Produk terkenal Sunquick adalah produk minuman pekat yang boleh didapati dalam dua saiz iaitu 330 mililiter (ml) dan 840ml. Produk ini boleh dinikmati dalam pelbagai perisa seperti oren, tropika, blackcurrant, mangga campuran, lemon, mandarin, beri campuran dan pic oren.

BARKATH ALI merupakan insan penting dalam menaikkan dan mengekalkan empayar perniagaan Kumpulan Barkath hingga kini.

 

Selain produk minuman pekat, Sunquick juga telah memperkenalkan rangkaian pek minuman pada tahun 2016.

Memberikan pengalaman Sunquick baharu, pek minuman sedia diminum itu boleh dinikmati dalam empat perisa berbeza iaitu oren, mangga campuran, epal dan beri serta sesuai untuk kanak-kanak kerana ia dibungkus dalam pek individu 125ml.

Semua produk Sunquick mengandungi jus buah asli dan vitamin C serta bebas daripada pemanis buatan, perasa dan pewarna.

Selain Sunquick dan Hacks, Kumpulan Barkath juga mengeluarkan serta memasarkan pelbagai jenama lain seperti Kikof, Barkath Foods, Agency & Classfoods.

Bagaimana Datuk Seri melihat industri makanan secara skop meluas di negara ini?
Di Malaysia, rakyat kini lebih cenderung dalam memupuk budaya pemakanan sihat kerana mereka lebih peka akan manfaat pemakanan dan kesan makanan terhadap kesihatan menyeluruh.

Sebagai industri yang berdaya saing tinggi dalam jenama makanan dan minuman, kami kini giat memperkenalkan formula baharu bagi pengguna.

Dengan kerjasama Co-Ro, Kumpulan Barkath sentiasa mencari kaedah bukan sahaja memperbaiki produk kami malah turut menitikberatkan cara perniagaan serta operasi dalam komuniti.

Sebagai peneraju dalam kategori minuman pekat dengan menguasai 55 peratus pasaran, Sunquick komited untuk menyediakan produk terkemuka kepada pengguna.

Terbaharu, Sunquick juga bakal memperkenalkan kempen ‘Smart Choice’ bertujuan bagi mendidik dan meningkatkan kesedaran para pengguna dalam membuat keputusan yang terbaik dalam pembelian serta penyediaan minuman kepada yang tersayang.

Mungkin Datuk Seri boleh kongsikan sedikit resipi dan rahsia kejayaan Kumpulan Barkath hingga berjaya memahat nama sebagai syarikat Muslim terkemuka negara?
Bagi Kumpulan Barkath, dalam apa jua yang kami laksana dan hasilkan, aspek kualiti menjadi perkara paling utama.

Hingga sekarang, kami masih memegang prinsip tersebut dan ia terbukti berkesan apabila rata-rata pengguna setia senantiasa memberikan pujian serta terus menyokong barisan produk dikeluarkan.

Kualiti yang kami tekankan meliputi aspek terhadap rasa produk itu sendiri. Kita boleh lihat, rasa gula-gula Hacks dan jus Sunquick yang kami hasilkan menggunakan resipi turun temurun masih tetap sama walaupun tahun silih berganti.

Bukan itu sahaja, mengekalkan hubungan baik dengan pembeli dan masyarakat juga perlu dan kami lakukan menerusi pelbagai acara serta tanggungjawab sosial korporat.

Sejak pandemik Covid-19 melanda negara, adakah syarikat turut merasa terkesan dan apakah strategi yang diambil bagi memastikan syarikat terus berdaya saing?
Jujur kami katakan, sejak wabak maut Covid-19 melanda dunia termasuk Malaysia, produk yang kami hasilkan tetap menjadi pilihan utama pengguna.

Alhamdulillah, jualan terhadap kedua-dua jenama utama kami iaitu Sunquick dan Hacks tidak dipengaruhi atau bahasa mudahnya terkesan rentetan pandemik yang berlaku.

Malahan, permintaan daripada pelanggan dalam dan luar negara turut meningkat dari semasa ke semasa.

Apa yang saya lihat, segmen makanan dan minuman agak terselamat dan tidak mendatangkan impak buruk disebabkan ia menjadi keperluan utama manusia tanpa mengira musim.

Apakah perancangan dan sasaran syarikat untuk tempoh lima ke 10 tahun selepas ini?

Matlamat syarikat adalah untuk sentiasa meningkatkan prestasi kami secara tidak langsung menggembirakan para pengguna kami.

 

BARKATH ALI (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada Yayasan OrphanCare sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporat.

 

 

Selaras dengan kemahuan pengguna kami, Kumpulan Barkath bekerjasama bersama Co-Ro untuk mempelbagaikan variasi rangkaian produk kami pada masa akan datang.

Selain itu, dalam memainkan peranan untuk menjaga kesejahteraan alam sekitar, Sunquick menjadi pilihan pintar para pengguna setelah 50 tahun berada di pasaran.

Boleh Datuk Seri kongsikan mengenai keceriaan yang dikongsi bersama pelanggan setia Sunquick yang telah memasuki 50 tahun terutama sepanjang musim Covid-19?
Bersempena ulang tahun Sunquick yang ke-50, Kumpulan Barkath telah menjalin kerjasama dengan Yayasan OrphanCare untuk menjadi rakan minuman rasmi yayasan tersebut.

Perkongsian ini nyata mengukuhkan komitmen Sunquick untuk berkongsi detik-detik gembira dengan semua tanpa mengira waktu.

Selain itu, bersempena ulang tahun ke-80 Kumpulan Barkatah, Sunquick juga telah melancarkan kempen Ramadan bagi memupuk semangat ‘memberi’ dalam kalangan pengguna.

Menerusinya, bagi setiap pembelian produk minuman pekat Sunquick 840 ml, sumbangan akan disalurkan kepada Yayasan Orphancare.

Alhamdulillah, dengan bantuan rakyat Malaysia, kempen tersebut telah berjaya mengumpulkan RM127,866 sekali gus merupakan sumbangan terbesar yang pernah diterima oleh Yayasan Orphancare.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI