JASIN – Penduduk Kampung Relau di Asahan dekat sini gempar apabila seekor anak kambing biri-biri dilahirkan dalam keadaan luar biasa dengan mempunyai dua punggung dan enam kaki.
Pemiliknya, Raihan Ismail, 52, berkata, anak kambing itu lahir pada Selasa minggu lalu dan keluarganya terkejut apabila melihat fizikal haiwan tersebut termasuklah mempunyai dua ekor di bahagian punggung.
Ujarnya, kejadian itu adalah yang pertama kali berlaku sepanjang dia menjadi penternak selama 15 tahun dan kini anak kambing tersebut menjadi tumpuan penduduk yang teruja melihat keadaan fizikalnya.
“Anak kambing ini lahir pada Isnin minggu lalu dan saya mula perasan keistimewaannya apabila ingin mengalihkannya daripada kandang.
“Ibunya yang berumur 10 tahun sudah banyak kali melahirkan anak, ini kali pertama anaknya mempunyai enam kaki, dua punggung dan ekor,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, anak kambing itu mempunyai dua kaki yang normal di bahagian hadapan, namun mempunyai empat kaki di bahagian belakang.
“Sebelum ini dia berdiri seperti haiwan lain tetapi sejak pagi tadi kakinya seolah-olah tidak kuat dan saya terpaksa membantunya setiap kali dia ingin menyusu dengan ibunya.
“Ada juga kawan yang belikan susu formula dan kita beri (anak kambing menyusu) guna botol, setakat ini reponsnya baik,” katanya.
Ujarnya, pihaknya dan penduduk kampung tidak menganggap anak kambing itu sebagai suatu petanda atau kepercayaan lain tetapi kebesaran Allah S.W.T semata-mata.
Tambahnya, sekiranya ada pihak yang berminat ingin membeli anak kambing itu, dia sudi menjualnya namun perlu membeli dengan ibunya sekali kerana ia masih kecil dan menyusu.