LONDON – Bintang bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo dihadiahkan sebuah kereta Rolls-Royce serba baharu sempena Krismas oleh pasangannya, Georgina Rodriguez, lapor akhbar Daily Star semalam.
Bekas pemain kelab Manchester United itu terkejut menerima kenderaan tersebut dengan cat yang masih berkilat pada pagi Krismas lalu.
Rodriguez, 28, menghiasi kereta tersebut dengan reben merah terang sebagai hadiah kepada Ronaldo, 37, yang pernah memenangi anugerah pemain bola sepak terbaik Ballon d’Or sebanyak lima kali.
Pada mulanya, Rodriguez membawa Ronaldo pergi ke sebuah taman, di mana kereta mewah yang dianggarkan berharga £300,000 (RM1.6 juta) itu diparkir sebelum mendedahkan hadiah itu di hadapan anak-anak mereka.
Ronaldo berharap kegembiraan pada perayaan Krismas kali ini dapat dibawa ke Tahun Baharu 2023 yang mana dia akan mencari kelab baharu selepas kontraknya bersama Manchester United ditamatkan. – Agensi