fbpx

Iran ancam ‘ranapkan’ Tel Aviv

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar dikeluarkan IRGC pada 25 Ogos 2014 menunjukkan dron didakwa milik Israel ditembak jatuh ketika terbang di atas tapak pengayaan uranium Natanz. - AFP

TEHERAN – Satu rakaman video memaparkan Iran mengeluarkan ancaman untuk memusnahkan bandar Tel Aviv sehingga ia menjadi bagai ‘padang jarak padang terkukur’, lapor portal berita MailOnline kelmarin.

Dalam rakaman itu, Teheran menjelaskan bagaimana ia akan bertindak balas terhadap rejim Zionis sekiranya Israel menyerang loji nuklear milik Iran.

Video yang dikongsi di laman Twitter itu bermula dengan Teheran mengaku bagaimana pasukan pertahanan Israel dan Amerika Syarikat (AS) melakukan latihan serangan ke atas kemudahan nuklear Iran.

Seorang wartawan yang muncul dalam video tersebut berkata: “Mari kita andaikan bahawa jet Israel berjaya sampai ke satu sisi kemudahan nuklear Natanz dan kita andaikan ia mengebom serta memusnahkannya (loji nuklear).

“Persoalannya adalah, sama ada masih ada pangkalan untuk ia (Zionis) mendarat (di Israel).”

Video selama dua minit setengah itu yang disiarkan oleh akaun @MEMRIReports turut mengandungi rakaman simulasi peluru berpandu dan beberapa letupan untuk menunjukkan apa yang akan berlaku kepada Tel Aviv.

“Beginilah rupa beberapa minit pertama respons (dari) Iran.

“Dalam masa kurang dari tujuh minit, peluru berpandu taktikal Pasukan Aeroangkasa IRGC (Pasukan Pengawal Revolusi Islam) seperti Dezful dan peluru berpandu terbaharu, Khaybar Crusher akan memusnahkan sasaran (Tel Aviv) dengan sangat tepat jika ia dilancarkan dari tempat seperti Natanz,” kata makluman pada video itu.

Tambah video tersebut, apabila gelombang pertama serangan mencapai sasarannya, peluru berpandu strategik IRGC akan digerakkan dalam silo bawah tanah dan pangkalan peluru berpandu akan bersedia untuk gelombang kedua serangan.

“Dalam gelombang kedua, kemudahan nuklear Dimona akan dimusnahkan secara praktikal, lalu Tel Aviv akan diranapkan ke tanah,” jelas video itu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI