fbpx

Pulun bersihkan pantai, paya bakau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kerja-kerja pembersihan sisa tumpahan minyak giat dilakukan di kawasan pesisir pantai dan paya bakau di pantai Tanjung Tuan, Melaka.

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

ALOR GAJAH – Memasuki hari keenam, lebih 100 kakitangan dari 18 agensi negeri ini masih berhempas-pulas membersihkan tumpahan minyak di pesisir pantai dan kawasan pokok bakau di Tanjung Tuan di sini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Alor Gajah, Leftenan (Pertahanan Awam) Noor Jauzi Hashim dalam satu kenyataan berkata, kerja-kerja pembersihan itu dibuat secara manual termasuk mengutip, menyapu dan mencedok sisa minyak di kawasan terbabit.

“Seramai 115 kakitangan masih di lokasi untuk kerja-kerja pembersihan tumpahan minyak ini termasuklah tenaga kerja dari Petronas, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Laut Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah (PDTAG).

“Sisa minyak ini terpaksa dibersihkan secara manual termasuk mengutip, mencedok (scooping) dan menyapu (sweeping) dan pembersihan turut dilakukan di kawasan pokok bakau,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sisa minyak yang terkumpul akan dikutip oleh pejabat Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

“Pemantauan air turut dilakukan untuk meninjau keadaan perangkap minyak yang digunakan dan penggantian alat itu juga dibuat di lokasi kawasan paya bakau.

“Kerja-kerja pembersihan lain termasuklah mengutip sisa sampah dan kayu di kawasan terlibat,” katanya.

Terdahulu, antara agensi lain yang terlibat adalah Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Kerja Raya, Majlis Perbandaran Alor Gajah, Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah dan PV Environment. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI