KLANG – Kontraktor pembersihan yang dilantik diingatkan supaya tidak culas melaksanakan tugas dalam mengatasi masalah banjir di kawasan masing-masing.
Teguran itu dibuat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu mengenai isu banjir yang kerap berlaku di sekitar Jalan Kebun, di sini.
Menurut Ahli Parlimen Kota Raja itu, pihaknya mengambil langkah persediaan membersihkan longkang dan parit di sekitar kawasan yang mudah ditakungi air.
“Ia antaranya melibatkan Jalan Kampung Batu 7 atau Jalan Kubur Berjaya Park. Selain longkang konkrit yang sudah lama tidak dibersihkan, air turut bertakung di atas jalan,” katanya menerusi hantaran Facebook Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen itu hari ini.
Tegas Mohamad Sabu, penduduk ketika kerja pembersihan itu menemui beberapa halangan laluan air yang menjadi faktor banjir kilat.
“Kontraktor yang dilantik janganlah culas dan mencari kesempatan. Allah melihat kecenderungan hati kamu, nak buat (kerja) atau nak culas,” ujarnya.-KOSMO!ONLINE