PETALING JAYA – Dua penerbangan Batir Air dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Kuching, Sarawak dan Trichy, India pada 22 Disember lalu terganggu akibat perubahan cuaca dan masalah teknikal pesawat.
Batik Air dalam satu kenyataan berkata, penerbangan tersebut kemudian dijadualkan semula sebaik situasi cuaca buruk dikesan.
Katanya, prosedur operasi standard (SOP) juga telah dijalankan oleh kru teknikal dan jurutera Batik Air yang terlatih bagi memastikan pesawat itu dapat terbang dengan selamat.
“Batik Air amat menitikberatkan keselamatan penumpang, oleh itu kami telah mengambil langkah tambahan untuk memastikan operasi penerbangan kembali lancar, dan insiden yang terjadi itu amat dikesali.
“Kami langsung tiada niat untuk menyebabkan gangguan penerbangan terus berpanjangan, dan kami memberi jaminan kepada orang awam bahawa situasi itu telah ditangani, dan operasi kembali seperti biasa,” katanya di sini hari ini.
Tambah kenyataan itu katanya, punca utama kejadian itu masih dalam siasatan dan sebarang kelemahan akan diperbaiki untuk meningkatkan taraf penyampaian perkhidmatan pelanggan mereka.
“Sebagai tanda kekesalan, Batik Air akan menghubungi kesemua penumpang terlibat untuk menyampaikan baucar kepada mereka.
“Kami amat kesal dengan gangguan yang terjadi sehingga menyebabkan penerbangan itu tergendala, dan mengakibatkan kerumitan kepada pelanggan serta ahli keluarga mereka,” tambahnya.
Terdahulu, tular di media sosial apabila penumpang meluahkan rasa tidak puas hati selepas penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kuching, Sarawak ditangguh lebih lapan jam.
Salah seorang penumpang, Mohd. Firdaus Jailan melalui satu video yang dimuat naik di Twitternya berkata, syarikat penerbangan itu langsung tidak menjaga kebajikan penumpang yang terpaksa menunggu lama.
Perkongsian penumpang itu juga mendapat perhatian Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook yang telah mengarahkan syarikat penerbangan itu membuat permohonan maaf dan ambil tanggungjawab atas kejadian tersebut. – KOSMO! ONLINE