PETALING JAYA – Pengacara popular, Datuk Aznil Haji Nawawi menyelar sikap tidak bertanggungjawab seorang peniaga atas talian yang menggunakan gambarnya tanpa izin bagi mempromosikan produk.
Katanya, orang ramai diminta berwaspada supaya jangan terpedaya dengan iklan palsu yang jelas menyalahgunakan identiti orang lain sebagai pelaris.
“Penipuan! Anda semua jangan tertipu dengan hantu stoking ini,” kongsinya yang turut menyertakan tangkap layar iklan palsu tersebut dalam Instagram.
Dalam hantaran sama, ikon dunia pengacaraan berkenaan menunjukkan dua gambar sama iaitu foto asal dengan paparan yang sudah disunting.
Pengendali akaun tersebut menyunting fotonya yang memegang sijil pengiktirafan dalam sebuah majlis dan menggantikannya dengan promosi stoking terapi.
Sementara itu, dalam ruangan komen ramai rakan selebriti serta pengikut laman sosial meminta Aznil atau Pak Nil menggunakan saluran undang-undang sebagai jalan penyelesaian.
“Ambil tindakan tegas kepada mereka,” luah hos, Nabil Mahir yang juga suami kepada Ayda Jebat.
“Kurang ajarnya mereka. Saman saja Pak Nil,” kata pelakon dan pengacara, Fizo Omar.
“Mereka memang kurang ajar, berniaga dengan cara menipu! Macam itulah saya kena sebelum ini,” kata pelakon sensasi, Che Ta atau Rozita Che Wan.
Sebelum ini, sudah banyak kes membabitkan pihak ketiga yang menggunakan nama selebriti bagi tujuan penipuan promosi atau menjual produk palsu.
Antara selebriti yang pernah menjadi mangsa iklan palsu termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza, Che Ta dan Yana Samsudin. – KOSMO! ONLINE