fbpx

Anggota tentera didakwa rompak pelacur di bilik hotel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh diiringi anggota polis selepas didakwa di Mahkamah Sesyen di Ayer Keroh, Melaka, hari ini.

MELAKA – Seorang anggota tentera didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan rompakan bersenjata terhadap seorang pelacur warga Vietnam, empat bulan lalu.

Tertuduh, Muhammad Mursyidien Azrai Nawi, 23, yang bertugas di Kem Terendak, Sungai Udang bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan rompakan bersenjata menggunakan sebilah pisau dan melarikan wang tunai berjumlah RM1,800 serta dua unit telefon bimbit berjenama milik seorang wanita warga Vietnam.

Perbuatan itu dilakukannya kira-kira pukul 6.50 petang di sebuah bilik hotel di Jalan Melaka Raya, Taman Melaka Raya, dalam daerah Melaka Tengah pada 31 Ogos lalu.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara 20 tahun dan sebat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama-sama Seksyen 397 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Najwa Nazari mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000.

Peguam Ishak Mohd. Kari yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu agar jumlah itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya hanyalah anggota berpangkat rendah dan menanggung ibu bapa yang uzur.

Selepas mendengar hujah kedua belah pihak mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dan menetapkan tarikh 14 Februari depan sebagai sebutan semula kes.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI