fbpx

Aktres mati dipercayai bunuh diri, bekas kekasih direman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TUNISHA dan kekasihnya bercinta sejak lima bulan lalu tetapi berpisah akibat beberapa hal termasuk perbezaan agama.

SUSULAN kematian aktres Bollywood, Tunisha Sharma yang ditemui mati tergantung di set penggambaran pada Sabtu lalu, bekas kekasihnya yang juga pelakon ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan.

Penahanan tersebut dilakukan selepas ibu mendiang mendakwa Sheezan Khan, 28, ada kaitan dengan kematian bintang muda berusia 20 tahun itu.

Sheezan dikatakan mendorong tindakan Tunisha mencabut nyawa sendiri selepas mengalami kemurungan akibat putus cinta.

Mereka didakwa menjalin hubungan cinta sejak lima bulan lalu ketika sama-sama menjayakan sebuah drama.

Ketika soal siasat, aktor tersebut menyatakan dia terpaksa memutuskan hubungan mereka beberapa hari sebelum insiden berkenaan disebabkan perbezaan agama.

Bagaimanapun, ibu Tunisha mendakwa perpisahan mereka tiada kena mengena dengan agama, sebaliknya Sheezan yang telah berlaku curang.

Malah bapa saudara mendiang turut menyelar sikap lelaki itu yang menghancurkan hati anak buahnya hingga mengakibatkan kejadian tidak diingini.

Terdahulu, Tunisha ditemui mati dipercayai membunuh diri di bilik air di sebuah set penggambaran drama di Palghar.

Dia dikatakan tidak kembali ke set dalam waktu yang lama hingga kru terpaksa memecahkan pintu tandas sebelum menemui jasadnya yang tidak bernyawa.

Inspektor Kanan Kailash Barve dari Balai Polis Valiv, Mumbai memberitahu media India bahawa Tunisha terus dibawa ke hospital berhampiran.

Polis sehingga kini masih menyiasat kes berkenaan dari semua sudut termasuk jenayah pembunuhan, namun meminta semua pihak agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi.

Polis juga menafikan desas-desus mengatakan pelakon itu hamil seperti yang dipersoalkan media.

Terdahulu, pada hari sama kematian, Tunisha memuat naik video dalam Instagram Story menunjukkan dirinya berada di set penggambaran sebuah program televisyen.

Nama Tunisha mula dikenali menerusi Bharat Ka Veer Putra – Maharana Pratap dan kemudian muncul dalam beberapa lagi drama popular termasuk Chakravartin Ashoka Samrat, Gabbar Poonchwala, Sher-e-Punjab: Maharaja Ranjit Singh dan Internet Wala Love. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI