fbpx

SMART SBB BERNAS beri sinar kepada pesawah Kota Belud

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ketua Jabatan Pengurusan Ladang BERNAS, Azman Md Azhar dan Pengarah IADA Kota Belud, Norfaine Sameun turun padang bersama para peserta SMART SBB untuk melihat perkembangan projek di Kampung Jawi-Jawi, Kota Belud.

PETALING JAYA – Seramai 40 pesawah di Kampung Jawi-Jawi, Kota Belud, Sabah menyambut akhir tahun 2022 dengan senyuman apabila hasil tuaian padi mereka meningkat lebih 60 peratus.

Pesawah di bawah program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Bernas di Kota Belud, Sabah telah menjangkau sasaran mereka apabila tuaian padi untuk musim pertama di Blok 3 dan 4, Kampung Jawi-Jawi mencatat peningkatan dari 2.60 tan metrik kepada 4.15 tan metrik sehektar.

Penyelia SMART SBB Kampung Jawi-Jawi, Rajumin Jamrin berkata, program SMART SBB bagi musim 1/2022 di kawasan itu telah bermula pada 12 Mei 2022 yang lalu merupakan hasil usahasama Bernas bersama Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah.

Selain itu katanya, ia juga hasil kerjasama agensi kerajaan lain seperti Kawasan Pertanian Pembangunan Bersepadu (IADA) Kota Belud, Jabatan Pengairan dan Saliran, Pertubuhan Peladang Kawasan, Jabatan Pertanian Sabah dan lain-lain.

“Peserta program ini menyatakan rasa gembira dan syukur atas perolehan hasil yang sebenarnya melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu 4 tan metrik sehektar.

“Sawah seluas 42.34 hektar di sini telah ditanam dengan varieti padi TR8. Proses penuaian padi telah bermula pada 5 September 2022 dengan jumlah hasil bersih sekitar 176 tan metrik atau purata hasil sekitar 4.15 tan metrik sehektar,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut Rajumin lagi, para pesawah pada awalnya kurang yakin dengan program SMART SBB namun setelah dicuba dan dilihat hasilnya, ramai yang mula tampil menunjukkan minat untuk menyertai program tersebut.

“Kini setelah masuk musim ke-2, mereka secara sukarela mula mengikuti kaedah penanaman yang disarankan oleh Bernas dan agensi-agensi yang terlibat. Selain itu, kemudahan jentera membajak dan menuai yang dahulunya sukar diperolehi di kawasan ini, kini telah dibekalkan oleh Bernas.

“Ia telah memberikan keselesaan kepada para pesawah disamping menjimatkan masa dan tenaga mereka. Ini semua pasti akan tecapai jika peserta program mempunyai disiplin dan usaha yang berterusan,” ujarnya. .

Sementara itu, seorang peserta muda, Hisham Stu yang pertama kali mengusahakan sawah amat berpuas hati dengan pulangan yang diterimanya.

“Sebelum ini, saya memperolehi pulangan bersih hasil tuaian sawah sekitar RM2,000 semusim. Alhamdulillah setelah menyertai SMART SBB bersama Bernas, ia meningkat kepada RM6,000.

“Selain itu, kerja-kerja yang dahulunya berat dan merbahaya kini menjadi lebih mudah, terancang dan selamat dengan adanya teknologi seperti drone untuk membaja dan meracun rumpai.

“Bimbingan dari BERNAS dan agensi-agensi lain banyak membantu kami memahami cara menanam padi dengan lebih efisyen”, tambahnya lagi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI