BAGAN SERAI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kurau menahan sebuah bot nelayan tempatan bersama tiga kru warga Myanmar di Kuala Kurau di sini sekitar pukul 1.15 petang semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd. Najhan Azman Hamid berkata, bot nelayan itu dikesan oleh pasukan bot peronda APMM semasa rondaan rutin di perairan Kuala Kurau sebelum ia dirapati untuk pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan awal menemui seramai tiga kru nelayan warga Myanmar termasuk tekong tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah berumur antara 29 hingga 35 tahun berada di atas bot.
“Pemeriksaan lanjut mendapati, bot itu memiliki lesen yang sah namun tidak diusahakan sendiri oleh pemiliknya.
“Tekong juga gagal mengemukakan dokumen kebenaran penggunaan kru warga asing oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Najhan berkata, semasa pemeriksaan dilakukan sebanyak 120 kilogram (kg) ikan campur dan 150kg ikan baja turut ditemui.
Menurut beliau, kesemua kru nelayan, bot, hasil laut dan peralatan menangkap ikan ditahan serta dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
“Ia juga disiasat di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu bot tidak diusahakan sendiri oleh pemiliknya serta tiada kebenaran penggunaan kru warga asing,” katanya. – KOSMO! ONLINE