YAN – Seorang peniaga warga emas masih menjual nasi lemak RM1 sebungkus dan sanggup mengambil untung yang sedikit demi menjaga hati pelanggan walaupun terpaksa berdepan dengan lonjakan harga barang mentah ketika ini.
Azizan Mat Said, 65, berkata, dia tidak tergamak untuk menaikkan harga walaupun nasi lemaknya mengandungi bahan yang sepatutnya ada untuk satu hidangan seperti telur, ikan bilis, kacang tanah, timun dan sambal.
Katanya, dia tidak berhasrat untuk menaikkan harga walaupun keuntungan yang diperoleh kini tidak seberapa.
“Semua barang sudah mahal seperti ikan bilis, ikan temenung, telur dan ayam tetapi saya tak sanggup nak naikkan harga.
“Saya sudah biasa jual pada harga ini dan kebanyakan pelanggan adalah orang kampung,” katanya yang sudah berniaga sejak enam tahun lalu bersama isterinya, Fatimah Ayob, 61, di Kampung Ruat di sini.
Menurut bekas pemandu teksi itu, selain nasi lemak, dia turut menjual pelbagai hidangan bergoreng yang boleh menampung kos perniagaan.
Tambahnya, dia menjual sehingga 400 bungkus nasi lemak setiap hari selain menerima tempahan untuk majlis.
“Nasi lemak yang saya jual ada enam jenis lauk seperti bilis telur, ikan selayang, ikan tamban, ikan temenung, ikan talang masin dan ayam.
“Semuanya dibungkus dengan daun pisang,” katanya yang hanya berniaga selama dua jam bermula pukul 4 petang. -KOSMO! ONLINE