JAKARTA – Berpuluh-puluh pelarian Rohingya tiba di pantai Aceh, Indonesia, kelmarin, di tengah-tengah rayuan antarabangsa agar negara Asia Tenggara itu menyelamatkan ratusan orang yang hanyut selama berminggu-minggu di atas bot di Lautan Hindi, lapor akhbar Arab News.
Kumpulan pelarian yang terdiri daripada 57 orang itu telah belayar dari Myanmar dan menuju ke Malaysia, kata Pengawal Pantai Indonesia dalam satu kenyataan.
“Enjin bot tersebut gagal berfungsi lalu terkandas di lautan selama kira-kira sebulan. Menurut penumpang yang terselamat, mereka belayar tanpa bekalan makanan yang mencukupi,” kata kenyataan tersebut.
Seorang anggota Pasukan Petugas Pelarian Nasional Indonesia, Eros Shidgy Putra berkata, kumpulan pelarian itu tiba pagi kelmarin di perairan daerah Aceh Besar.
“Buat masa ini, semua pelarian berada di bawah pengawasan Agensi Hal Ehwal Sosial di Aceh Besar dan Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi,” kata Eros.
Kumpulan pelarian Rohingya itu ditemui oleh penduduk kampung di kawasan tersebut, demikian menurut agensi berita Associated Press sebagai memetik pegawai tempatan.
Bot yang membawa pelarian termasuk wanita dan kanak-kanak itu memasuki perairan Indonesia berhampiran Aceh pada petang Jumaat lalu, demikian menurut pertubuhan hak-hak asasi manusia, Amnesty International. – AGENSI