fbpx

Politik sarkas masih berterusan menjelang tahun baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SELEPAS Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berlangsung hampir sebulan setengah yang lalu, isu politik negara kelihatan semakin sejuk dan kurang diperkatakan.

Perdana Menteri yang baharu bersama pasukan Kerajaan Perpaduan yang dibentuk pula semakin rancak bekerja. Masing-masing dengan pendekatan dan cara tersendiri.

Rakyat sudah pasti memerhati, meneliti dan mengawasi apa sahaja yang dilakukan oleh mereka yang diberikan amanah serta kepercayaan menerajui negara ini.

Pihak pembangkang juga kelihatan semakin menerima hakikat bahawa tampuk pemerintahan kali ini ditakdirkan menjadi milik parti-parti yang membentuk kerjasama di bawah payung baharu Kerajaan Perpaduan.

Sewajarnya semua Ahli Parlimen baik di pihak kerajaan mahupun pembangkang menjadikan persidangan Dewan Rakyat untuk berbahas demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat dan bukan mengambil kesempatan hina menghina, caci mencaci serta menunjukkan lagak tidak ubah seperti pertunjukan sarkas.

Agak memalukan apabila seorang pemimpin yang diangkat melalui satu sistem pilihan raya yang menelan kos lebih RM1 bilion (wang rakyat) tetapi akhirnya wakil yang menang ibarat tong kosong ketika berhujah dan mengutarakan buah fikiran di Dewan Rakyat.

Hari ini, rakyat melihat Parlimen seakan masih tidak berubah berbanding penggal-penggal yang lalu apabila berterusan menjadi medan untuk bercakap apa sahaja khususnya perkataan-perkataan yang mengaib dan memalukan pihak lawan tanpa bersandarkan kepada fakta dan kebenaran.

Sikap seperti itu jelas menggambarkan wakil rakyat terbabit telah menyalah guna hak dan keistimewaan kebebasan bercakap yang diberikan kepada mereka.

Seharusnya pada setiap kali persidangan Dewan Rakyat berlangsung, 222 Ahli Parlimen yang ada bersama-sama mengembleng buah fikiran untuk memacu semula ekonomi negara sekali gus meningkatkan lagi kesejahteraan rakyat.

Kita semua akan memasuki gerbang tahun baharu 2023 beberapa hari sahaja lagi.

Persediaan menghadapi tahun sukar seperti yang diperkatakan oleh pakar-pakar ekonomi sepatutnya menjadi agenda utama semua pihak dan bukan terletak di atas bahu kepimpinan kerajaan sahaja.

Cukup-cukuplah berpolitik ketika musim pilihan raya. Hentikan persengketaan, penyebaran pelbagai serangan fitnah, dakyah dan propaganda di media-media sosial. Sebaliknya gerakkan kesedaran dan kefahaman dalam kalangan rakyat untuk berusaha meningkatkan keupayaan diri, keluarga dan masyarakat.

Hari ini, isu ayam dan telur masih membelenggu rakyat dan menteri kita sedangkan negara China sudah pun memiliki stesen angkasa lepas sendiri. Bagaimana rakyat nak berubah jika perangai para pemimpin kita masih pada takuk lama. Warga sarkas termasuk haiwan pun mungkin pelik melihat kita.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI