Oleh ZAKI SALLEH
BATU GAJAH – Sektor pelancongan di negeri ini masih berjalan secara terkawal mengikut norma baharu di mana lokasi-lokasi tumpuan umum tetap menerima kehadiran pengunjung luar walau pun jumlah mereka berkurangan berbanding tempoh sama pada tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pelancongan negeri Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, biarpun perkara itu telah dijangka tetapi masih terdapat beberapa produk pelancongan yang sesuai untuk diteruskan dalam keadaan terkawal.
Menurut beliau, keunikan produk-produk pelancongan yang ada di negeri ini masih sesuai untuk dikunjungi dan diterokai seperti muzium, keindahan alam semula jadi dan hasil kraftangan.
“Namun, pada masa sama penggiat sektor pelancongan perlu mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan dengan lebih ketat dan begitu juga kepada pengunjung.
“Keadaan Covid-19 yang masih lagi tinggi tetapi kita beharap aktiviti pelancongan dapat diteruskan secara terkawal dan waspada,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Geotourism Vounchers #TravelPeraklah dan DarkTourism di Kellie’s Castle di sini malam tadi yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa.
Katanya lagi, pada masa sama kerajaan negeri terus mencari inisiatif baharu untuk menggalakkan lagi aktiviti pelancongan misalnya memperkenalkan pakej-pakej menarik dan menawarkan lebih nilai kepada pengunjung.
Jelas Nolee, semua aktiviti yang dijalankan perlu dibuat dengan penuh rasa untuk memastikan wabak Covid-19 kekal terkawal.
“Saya mengambil contoh langkah pengurusan Sunway Lost World of Tambun (SLWOT) yang menutup operasi buat sementara waktu bagi proses nyah cemar selepas seorang pengunjungnya disyaki dijangkiti Covid-19.
“Penutupan ini bagi memastikan apabila dibuka nanti taman tema ini selamat untuk dikunjungi,” katanya – K! ONLINE