PETALING JAYA – Pelaksanaan subsidi petrol secara bersasar dilihat tidak sesuai diberikan hanya berdasarkan jenis kenderaan yang digunakan, menurut penganalisis automotif tempatan, Hezeri Samsuri.
Katanya, spesifikasi asas kenderaan seperti sesaran enjin, jumlah kuasa kuda, malah harga jualan tidak mampu untuk menentukan secara tepat sama ada pemiliknya merupakan individu berpendapatan rendah dan layak menerima bantuan subsidi bahan api.
“Ini kerana teknologi dalam industri automotif sentiasa berubah, kereta-kereta lama dan yang menggunakan enjin diesel misalnya banyak menggunakan enjin sesaran besar, namun bukanlah sebuah kereta mewah. Ada juga kereta mewah yang menggunakan enjin bersesaran kecil namun mampu menghasilkan kuasa tinggi.
“Dari segi kuasa kuda pula, modifikasi mudah dilakukan untuk meningkatkan kuasa enjin sesebuah kenderaan.
“Selain itu, golongan berpendapatan tinggi juga boleh membeli kereta berharga lebih murah terutamanya untuk digunakan oleh anak-anak mereka bagi mendapatkan subsidi petrol sekiranya ia diberi berdasarkan jenis kenderaan digunakan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub baru-baru ini dilaporkan berkata, pangkalan data dari Jabatan Pengangkutan Jalan antara elemen yang bakal diguna pakai kerajaan dalam mengenal pasti penerima subsidi bersasar membabitkan minyak petrol.
Katanya, kertas cadangan mengenai subsidi bersasar sebelum ini telah dibentangkan ketika mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa lepas.
Dalam pada itu, Hezeri melihat pemberian subsidi petrol secara bersasar lebih wajar diberikan berdasarkan pendapatan isi rumah, sama ada mereka dikategorikan sebagai T20, M40 dan B40.
Namun tegasnya, pelaksanaannya bukan mudah kerana ketiadaan model yang baik untuk dicontohi memandangkan tiada negara-negara maju yang memberikan subsidi petrol kepada rakyatnya dan pemberian subsidi lebih banyak dibuat oleh negara-negara dunia ketiga.
“Melihat kepada situasi di negara-negara lain, bagi saya pemberian subsidi petrol sukar untuk diteruskan untuk jangka masa panjang. Negara jiran kita, Thailand misalnya bukan setakat tidak memberi subsidi petrol, malah mengenakan cukai jualan untuk bahan api.
“Pada masa sama, kerajaan memerlukan masa untuk mengkaji mekanisme pelaksanaan subsidi petrol bersasar ini sedalam mungkin agar semua golongan sasaran dapat menikmatinya dan tiada yang ketinggalan, terutamanya melibatkan penduduk di luar bandar yang berpendapatan rendah,” ujarnya.