fbpx

Janggal kawan karib jadi ibu tiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JARAK usia 25 tahun tidak menghalang cinta antara rakan karib Ros dan bapa Ros.–GAMBAR HIASAN

“DIAM tidak diam, tahun ini merupakan tahun ketiga dia hadir dalam keluarga besar kami sekali gus bergelar ibu tiri kami”.

Itu kata-kata Ros (bukan nama sebenar) kepada Panorama tatkala membuka bicara tentang perasaan yang terbuku di lubuk hatinya.

Menurut wanita berusia 30 tahun itu, sehingga kini dia seakan-akan masih tidak percaya terhadap apa yang berlaku lebih-lebih lagi melibatkan hal keluarga.

Ros yang bekerja sebagai pegawai di salah sebuah agensi kerajaan memberitahu, dia mempunyai seorang rakan karib, Eiza (bukan nama sebenar) yang berusia sebaya dan dikenali sejak di bangku sekolah rendah.

“Hubungan kami bagaikan adik-beradik. Boleh dikatakan semua perkara kami berkongsi bersama. Susah senang, pahit manis dan segala kenangan kami lalui bersama.

“Kami juga saling mengenali keluarga masing-masing. Bahasa mudahnya, dia kenal ibu dan bapa saya, begitu juga sebaliknya. Cuma bezanya Eiza sudah lama kehilangan bapa sejak dia berumur lima tahun,” kata anak kelahiran Kulim, Kedah itu.

Jelasnya, selepas tamat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia pada tahun 2009, dia dan Eiza mendapat tawaran untuk menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana muda di salah sebuah universiti awam di selatan tanah air.

Menyingkap kembali, sewaktu berada di tahun dua, ibu Eiza disahkan meninggal dunia kerana terlibat dalam satu kemalangan.

“Takdir menentukan segalanya. Sejak dari itu, Eiza bergelar anak yatim piatu dan tidak lagi mempunyai tempat bergantung kasih sayang memandangkan dia merupakan anak tunggal dalam keluarga.

“Jadi setiap kali pulang ke kampung, bagaikan tiada erti buat Eiza kerana sudah tidak punya siapa. Rumah pusaka yang ditinggalkan keluarganya bagaikan sudah tiada makna tanpa orang tersayang di sisi.

“Jadi biasanya jika kami pulang cuti semester, saya pasti akan menjemputnya ke rumah lebih-lebih lagi Eiza yang agak rapat dengan ibu kandung saya,” ujarnya.

Menyambung bicara, Ros memberitahu, sejurus tamat pengajian, rezeki masih berpihak kepada mereka berdua apabila mendapat pekerjaan tidak jauh dari kampung.

Tambah Ros, lima tahun berlalu, keluarganya diuji pula dengan kematian ibunya akibat diserang penyakit angin ahmar dan kini cuma tinggal bapanya yang merupakan pesara tentera berumur 55 tahun.

“Di rumah memang biasanya tinggal kami berdua sahaja memandangkan saya anak bongsu. Kakak dan abang kebanyakannya sudah berumah tangga dan tinggal berasingan daripada kami.

“Alhamdulillah ayah masih dikurniakan kesihatan yang baik dan tidak ada sebarang masalah. Walaupun sudah lama bersara dari perkhidmatan ketenteraan, namun ayah masih aktif dan jenis tidak pandai duduk diam,” ceritanya.

Memang sudah kelaziman, setiap tahun pada Hari Raya Aidilfitri, Ros sekeluarga akan berkumpul besama-sama untuk menyambutnya selain menganjurkan hari keluarga dan doa selamat.

Pada tahun 2016, Ros turut menjemput Eiza untuk bersama-sama menyertai hari keluarganya di Pulau Langkawi memandangkan kedua-dua mereka masih bujang dan boleh menjadi peneman.

“Sekurang-kurangnya, kesedihan dan kesepian Eiza terisi walaupun kehilangan ibu bapanya sudah lama berlalu,” ujarnya.

 

ROS keliru apabila kawan karibnya sejak kecil menjadi ibu tirinya sendiri.–GAMBAR HIASAN

 

Beberapa bulan selepas hari keluarga itu, masih segar dalam ingatan Ros apabila bapanya menghubungi dia dan adik-beradiknya lalu meminta semua berkumpul kerana ada sesuatu yang ingin disampaikan.

Bermacam-macam bermain di fikiran Ros dan adik-beradiknya hinggalah tiba saat perjumpaan seperti yang diminta bapanya.

Ros dan adik beradiknya terkejut dan tertanya-tanya apabila melihat Eiza turut berada pada pertemuan tersebut.

“Alangkah terkejutnya saya tatkala ayah memberitahu kami semua berkenaan hasrat ayah untuk bernikah dengan Eiza.

“Pada masa itu, suasana jadi sepi dan senyap seketika. Bagaikan tidak percaya apa yang diluahkan ayah kandung kami akan hasratnya itu. Perkara yang tidak pernah disangka-sangka terjadi dalam sekelip mata. Bayangkan rakan karib sendiri yang saya berkawan rapat sejak kami kecil kini bertukar gelaran menjadi ibu tiri,” luah Ros keliru.

Ros menyatakan, Eiza ada bertemunya selepas itu dan memohon maaf. Mungkin Eiza berasa serba salah kerana jatuh cinta dengan bapa Ros.

Paling mengejutkan, Eiza mengakui bahawa dirinya mula menyukai bapa Ros beberapa tahun selepas ibu Ros pergi buat selamanya dan perkara tersebut berbalas dengan layanan baik yang diterima daripada bapanya.

Ros tidak menyalahkan bapanya atas keputusan yang dilakukan dan tidak juga membenci Eiza, apatah lagi wanita itu kini orang baharu dalam keluarga mereka.

Cuma hingga kini, Ros sendiri keliru siapa Eiza dalam hidupnya. Adakah masih rakan karibnya atau bagaimana?

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI