GUA MUSANG – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) apabila tidak lepas memotong sebuah lori di Kilometer 26, Jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran Bukit Sejuk di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.05 pagi itu, mangsa, Md. Zulfikal Ami Abdul Rahman, 31, yang menunggang motosikal Jenis Yamaha Y15 meninggal dunia di lokasi kejadian selepas bertembung dengan SUV jenis Honda CR-V.
Timbalan Ketua Polis Daerah Gua Musang, Deputi Superintendan Azmi Mokhtar berkata, siasatan awal mendapati, mangsa sedang perjalanan dari arah Laloh, Kuala Krai ke Gua Musang.
Katanya, semasa di lokasi kejadian mangsa dipercayai cuba memotong sebuah lori di hadapannya dan masuk ke laluan bertentangan.
“Bagaimanapun, Md. Zulfikal Ami gagal memotong lori berkenaan lalu bertembung dengan SUV dari arah bertentangan yang sedang dalam perjalanan dari Gua Musang ke Pasir Puteh.
“Insiden itu menyebabkan mangsa tercampak ke atas jalan sebelum meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Azmi, mayat mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE