fbpx

Abil mahu bersama suami hingga akhir hayat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NABILA Huda menyifatkan suaminya, Izwan sebagai seorang lelaki penyabar dan dia banyak membantu melakukan kerja-kerja rumah.

PETALING JAYA – Selama tujuh tahun melayari bahtera rumah tangga, pelakon Nabila Huda menyifatkan suaminya, Mohd. Izwan Johar sebagai seorang lelaki penyabar kerana bertahan melayan kerenahnya sebagai isteri.

Bersempena ulang tahun perkahwinan ketujuh mereka yang disambut semalam, Nabila atau mesra disapa Abil menitipkan ucapan romantik istimewa untuk suami tercinta.

“Kepada suami tersayang, terima kasih dengan segala cinta dan sayangmu yang sepenuh hati untuk saya dan Keisha Laila.

“Terima kasih kerana sentiasa bersabar melayan kerenah isterimu yang dramatik ini. Kesabaran yang ada dalam diri awak itu tidak akan pernah ada sesiapa yang boleh melawannya.

“Terlalu hebat awak kawal seorang wanita bernama Nabila Huda,” ucap Abil.

Pada masa sama, pelakon berusia 37 tahun itu bersyukur rumah tangga yang dibina bersama Izwan masih harmoni dan dirinya dilayan umpama tuan puteri.

“Kerana kesabaran awak, alhamdulillah, tujuh tahun kita sebagai suami isteri. Tak ada apa yang saya minta daripada awak, cukuplah kasih sayang yang ikhlas melayan saya dan Kiesha macam tuan puteri setiap hari,” katanya.

Dalam hantaran sama, anak kepada penyanyi legenda Datuk Amy Search itu juga mendedahkan suaminya banyak membantu menguruskan rumah tangga selain menjalankan tanggungjawab yang baik sebagai suami.

“Masak, buat kerja rumah, basuh baju kami, lipat baju, kemas rumah, buat kami ketawa setiap hari dan manjakan kami.

“Awak sentiasa ada dalam keadaan bersedia apabila kami perlukan awak. Kami saya awak abi (panggilan untuk Izwan)! Tolong jaga kesihatan.

“Saya takut kehilangan awak. Tidak boleh bayangkan kehidupan kami tanpa awak, sayang. Saya mahu hidup dengan awak sampai akhir hayat kami. Selamat ulang tahun perkahwinan sayangku,” tutur Abil.

Menjengah dalam ruangan komen, rata-rata peminatnya turut mendoakan kebahagiaan rumah tangga Abil dan suami selain berharap agar mereka kekal sehingga ke akhir hayat.

“Selamat ulang tahun perkahwinan Abil dan suami. Semoga Allah SWT selalu dengan kamu dan dilimpahi rezeki di dunia dan akhirat,” kata seorang peminatnya.

“Semoga gembira selalu dan dikurniakan rezeki untuk kakak dan abang,” kata seorang lagi peminat lain.

Untuk rekod, Abil dan Izwan mendirikan rumah tangga pada Disember 2015. Bagaimanapun perkahwinan mereka belum dikurniakan zuriat.

Sementara itu, menerusi perkahwinan pertama, dia dikurniakan seorang anak perempuan Keisha Laila yang kini berumur 13 tahun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI