GEORGE TOWN – Kebocoran pada hos brek trek menyebabkan perkhidmatan funikular di Bukit Bendera dihentikan selama hampir tiga jam petang semalam.
Menurut kenyataan Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP), kejadian berlaku pada pukul 4 petang semalam namun perkhidmatan funikular kembali beroperasi seperti biasa pada pukul 6.45 petang.
“Pasukan penyelenggaraan PBBPP memerlukan sedikit masa untuk menggantikan bahagian tersebut sebelum menghidupkan sistem dengan sepenuhnya.
“PBBPP kesal dengan kejadiaan yang berlaku pada hari ini dan memohon maaf di atas segala kesulitan yang dialami,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Kosmo! Online melaporkan kira-kira hampir 1,000 pengunjung hampa apabila hasrat mereka untuk menikmati cuti sempena perayaan Krismas di puncak Bukit Bendera di sini terkubur setelah perkhidmatan kereta api dilaporkan mengalami kerosakan.
Kejadian tersebut menyebabkan keadaan di Stesen Bawah, Jalan Air Itam dikatakan bertukar kecoh apabila ada dalam kalangan pengunjung yang tiba seawal pukul 12 tengah hari mula meluahkan kekecewaan berikutan tempoh menunggu diambil hampir lima jima sehingga pukul 5.15 petang.
Untuk rekod, perkhidmatan funikular Bukit Bendera pernah beberapa kali mengalami gangguan sebelum ini sehingga menyebabkan ratusan pengunjung terkandas di pusat peranginan tersebut.
Kenyataan PBBPP berkata, pihaknya berterima kasih kepada Persatuan Penduduk Bukit Bendera dan polis yang pantas menghulurkan bantuan kepada pengunjung ketika kejadian tersebut.
“PBBPP berterima kasih kepada semua pengunjung atas kesabaran mereka terhadap gangguan perkhidmatan.
“PBBPP juga amat menghargai usaha Persatuan Penduduk Bukit Bendera yang menyediakan perkhidmatan jip, perkhidmatan bas dan polis atas tindakan pantas dalam menangani situasi kecemasan yang berlaku,” katanya. – KOSMO! ONLINE