fbpx

Keluarga rugi RM12,000 ditipu pakej kahwin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar yang dimuat naik oleh @leenora.co yang mendedahkan bahawa dia sekeluarga ditipu oleh pihak terbabit.

PETALING JAYA – Sebuah keluarga mendakwa kerugian RM12,000 akibat ditipu dengan pakej kenduri kahwin yang ditawarkan oleh sebuah pengusaha katering di Kedah semalam.

Kakak kepada pengantin, @leenora.co mendedahkan bahawa ini adalah kali pertama dia sekeluarga tertipu dengan pakej katering dan pakej pengantin sekali gus menyebabkan mereka mengalami kerugian besar.

“Hari ini merupakan majlis perkahwinan adik saya tetapi sebarang persediaan masih belum dibuat. Individu yang membuat perjanjian dengan pengantin juga sudah melarikan diri, dan tidak dapat dihubungi.

“Berkat bantuan daripada abang-abang ipar dan anak-anak buah merayu-rayu dan membuka khemah di majlis perkahwinan orang lain lalu memasangnya di sini barulah khemah dapat didirikan,” katanya menerusi hantaran video dimuat naik di akaun TikToknya.

Tambahnya, proses memasang khemah agak memakan masa kerana mereka juga tidak berpengalaman dan tidak tidur sehingga siap pada waktu pagi itu.

“Kami juga terpaksa mencari pelamin dan membayarnya semula serta merayu kepada mereka agar memasangnya secepat mungkin dan pukul 4 pagi barulah ia siap dipasang.

“Bayangkan jika perkara ini berlaku kepada orang lain yang langsung tidak memiliki duit modal tambahan, bagaimana agaknya mereka hendak langsungkan perkahwinan dengan persiapan yang tidak lengkap dan ketiadaan hidangan makanan,” katanya.

Jelasnya, pihak mereka sudah membuat laporan polis dan ternyata ramai mangsa yang telah tertipu dengan pakej ditawarkan oleh pihak tersebut.

“Selepas daripada kes itu, kami segera membuat laporan polis dan ternyata sudah terdapat lima kes dilaporkan terhadap kesalahan sama serta tempat yang sama,” katanya.

Seorang pengguna media sosial yang sama, @naimahsaad5002 berkata anak saudaranya juga pernah tertipu pada tahun lepas oleh pihak katering di Kedah.

“Serupa kejadian seperti ini. Huru-hara jadinya sebab pada hari kenduri, pihak katering tidak muncul,” katanya.

Dalam pada itu, @leenora.co sempat berpesan kepada bakal pengantin agar menjadikan kisahnya sebagai satu pengajaran dalam memilih pakej perkahwinan kelak.

Hantaran tersebut telah meraih sebanyak 86,100 tanda suka dan 1,300,000 jumlah tontonan setakat ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI