PETALING JAYA – ‘Saya tidak pernah lari dari perkara kontroversi jika itu menyelesaikan masalah’.
Itulah ungkapan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dalam satu ciapannya semalam apabila menjawab dakwaan sesetengah pihak bahawa dirinya ‘lari’ dari isu harga barang.
Jelas Rafizi, beliau tidak takut dengan pandangan umum, malah yakin rakyat yang rasional akan mula memahami dan ikut serta.
“Dalam sebulan lagi, ‘geng-geng’ Perikatan Nasional yang pertikai semua akan terduduk.
“Sama macam mereka terduduk soal-soal lain yang asalnya kontroversi tapi bila hujahnya dibentang satu persatu, rakyat yang cerdik akan mula faham,” katanya.
Tambahnya, untuk menyelesaikan masalah harga barang, pihaknya perlu pastikan ekosistem harga barang lebih anjal.
Katanya, kerajaan sedang mengusahakan langkah-langkah jangka sederhana dan panjang seperti memperbaiki rantaian bekalan untuk hentikan monopoli, menetapkan kawalan harga tanpa ganggu kelangsungan bekalan, dan pelaburan berskala tinggi.
“Kita juga perlu ‘suntik’ keanjalan dalam permintaan sebagai satu lagi mekanisme kawalan harga.
“Kerajaan banyak data harga yang boleh digunakan rakyat. Kita mula dengan yang ini, Insya Allah sedikit demi sedikit kita kembalikan kuasa pengguna,” katanya.
Terdahulu, dalam sidang medianya pada Jumaat, Rafizi berkata, pengguna dinasihatkan agar tidak membeli barangan dijual oleh peniaga yang melebihi daripada harga purata.
Rafizi berkata, ekosistem tersebut yang diharap akan dibangunkan dan digerakkan oleh pengguna sendiri akan membantu menambah keanjalan di sebelah permintaan, sebagai satu usaha mengawal inflasi di masa akan datang. – KOSMO! ONLINE