KUALA LUMPUR – Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) bakal menganjurkan program pencarian pengarah baharu yang mampu membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa.
Presidennya, Ahmad Ibrahim yang lebih dikenali sebagai Mat London berkata, program yang bermula pada Januari tahun hadapan akan menjelajah ke enam zon seluruh negara.
“FDAM sudah merangka beberapa program tahun depan, salah satunya kita akan adakan siri jelajah di enam zon di seluruh negara untuk mencari 10 pengarah berkualiti.
“Program ini akan berlangsung dengan kerjasama daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas),” katanya ketika ditemui pada Majlis Santai FDAM bersama Media baru-baru ini.
Tambah Ahmad, pihaknya mencari pengarah yang memiliki kriteria tertentu termasuk usia muda, berbakat dan kreatif.
“Kriteria yang kita cari adalah, mereka dalam kalangan usia 18 hingga 35 tahun.
“Untuk pencarian 10 pengarah ini, diberikan masa selama sebulan untuk mereka hasilkan filem pendek dan hantarkan penyertaan. Dari situ, kita akan tapis dan lihat hasil kerja mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad berkata, 10 pengarah yang layak akan diberikan kursus berkaitan dunia pengarahan dan mendapat bantuan dana daripada Finas.
“Apa yang saya lihat kita ramai pengarah yang bagus tapi bukan yang terbaik. Kita mencari pengarah yang kompeten. Mereka yang boleh merentas sempadan dan boleh berjaya di luar negara.
“Mereka juga akan diberikan latihan khusus dan bantuan dana daripada Finas bagi membangunkan pengarah itu.
“Maksudnya mereka diberi bantuan dari segi material dan penjanaan. Dari situ kita boleh bantu bawa karya mereka ke luar negara walaupun dengan kos pembikinan yang rendah,” ujarnya.
Tambahnya, sesebuah filem yang baik tidak hanya dilihat melalui kos pembikinan yang tinggi, sebaliknya nilai-nilai murni dalam sesebuah karya yang dihasilkan.
“Kos bukan ukuran filem terbaik, kalau lihat filem Spilt Gravy on Rice, bukanlah mahal sangat. Tapi, kenapa naskhah tersebut diangkat sebagai juara filem di negara ini?
“Filem itu ada nilai-nilai murni dan wajah kita. Naratif yang boleh berikan mesej tertentu. Inilah yang kita ingin bangunkan dalam diri seseorang pengarah,” ujarnya.
Selain pencarian pengarah baharu, FDAM juga akan melancarkan tiga program lain iaitu apresiasi filem, wacana dan juga kursus kesan khas (special effect) kepada pengarah yang kurang berkemampuan. – KOSMO! ONLINE