SEREMBAN – Seorang penunggang motosikal maut manakala pembonceng cedera parah dihempap sebatang pokok tumbang dalam kejadian di Jalan Seremban-Tampin di sini tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu, mangsa Muhammad Ikram Mohd. Yazid berusia 21, yang beralamat di Jalan Kampung Perigi Jernih, Rembau maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepala.
“Kemalangan berlaku semasa mangsa yang menunggang motosikal Yamaha FZ150 bersama seorang lagi pembonceng sedang bergerak dari arah Senawang menuju ke arah Rembau.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, terdapat sebatang pokok yang berada di kiri bahu jalan telah tumbang lalu menghempap motosikal dinaiki mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Nanda, akibat kejadian tersebut, kedua-dua mangsa terperosok masuk di bawah pokok yang tumbang.
“Muhammad Ikram disahkah maut di lokasi kejadian manakala pemboncengnya, Ammar Zarif Mohamad Junaidi, 18, cedera parah pada badan dan kini dirawat di Zon Merah Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban,” katanya.