WASHINGTON – Lebih 400,000 kediaman dan perniagaan di seluruh Amerika Syarikat (AS) terputus bekalan elektrik menjelang sambutan Krismas ekoran ribut salji yang meruntuhkan talian elektrik beserta angin kencang serta salji tebal sekali gus menurunkan suhu ke paras rendah yang berbahaya.
Menurut stesen penyiaran CNN, sekurang-kurangnya 16 orang maut sejak Rabu lalu di tujuh negeri iaitu Kansas, Kentucky, Missouri, New York, Ohio, Tennessee dan Wisconsin akibat cuaca ekstrem.
Ribut salji dilaporkan masih melanda sebahagian kawasan di Barat Tengah Atas dan pedalaman Timur Laut sehingga kini beserta salji tebal.
Di bandar Buffalo, New York, salji tebal dan angin kencang (ada masanya melebihi 97 kilometer sejam) (km/j) menjadikan persekitaran hampir tidak dapat dilihat semalam.
Salji melebihi 305 milimeter diramal turun hari ini dengan kelajuan angin sehingga 105 km/j selain suhu turut dijangka jatuh di bawah paras beku.
Sementara itu, di daerah Erie (termasuk Buffalo), cuaca buruk diramal berterusan sehingga sekurang-kurangnya pagi esok, demikian menurut Eksekutif Daerah, Mark Poloncarz.
“Keadaan masih berbahaya dan mengancam nyawa. Situasi ini tidak boleh dipandang ringan,” ujarnya.
Kira-kira 500 pemandu terkandas di dalam kenderaan mereka di daerah tersebut malam kelmarin hingga pagi ini, dengan kira-kira 200 lagi mungkin akan terus terperangkap hingga petang semalam, kata Poloncarz.
Susulan itu, daerah tersebut mengeluarkan arahan melarang aktiviti pemanduan ketika ribut melanda.
Pasukan Pengawal Kebangsaan turut dilaporkan tiba semalam untuk meyelamatkan orang ramai yang terkandas di dalam kenderaan selain turut membawa petugas kesihatan untuk menggantikan syif bekerja di hospital. – Agensi