KOTA BHARU – Jumlah mangsa banjir di Kelantan terus menurun hari ini apabila seramai 10,642 orang mangsa masih berlindung di 29 pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 13,549 mangsa di 32 PPS petang semalam.
Pegawai Pengurusan Bencana dan Operasi, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan, Kapten Mohd. Hanif Omar berkata, jumlah itu menunjukkan penurunan sebanyak 2,907 mangsa.
Menurutnya, daripada jumlah itu, ia melibatkan 4,425 buah keluarga dan ia menunjukkan penurunan berbanding 4,676 keluarga semalam.
“Hanya dua daerah masih mempunyai mangsa banjir iaitu Pasir Mas dengan jumlah 10,736 orang dan Tumpat seramai 2,813 orang.
“Enam PPS di Pasir Puteh selain masing-masing sebuah di Bachok dan Tanah Merah sudah ditutup sepenuhnya semalam,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut Mohd. Hanif, semua sungai-sungai utama di Kelantan termasuk Sungai Kelantan, Sungai Golok, Sungai Semerak, Sungai Lebir, Sungai Pergau dan Sungai Lanas menunjukkan bacaan menurun hari ini. – KOSMO! ONLINE