fbpx

‘Ungku Ismail lelaki paling rapat, keluarga izin kongsi perkembangan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NAD Zainal sudah keluar dari hospital dan beransur pulih.

PETALING JAYA – Selepas sebulan bertarung nyawa akibat pendarahan paru-paru, pelakon Nad Zainal akhirnya tampil secara langsung dalam TikTok miliknya bagi menjelaskan beberapa perkara yang berlaku sepanjang tempoh berada dalam situasi kronik.

Nad atau nama sebenarnya, Farah Nadia Zainal Abidin, 32, berkata, tindakan pelakon Engku Ismail Aziz berkongsi perkembangan keadaan kesihatannya telah mendapat keizinan daripada keluarga.

“Ramai sangat yang tanya kenapa Engku Ismail selalu update fasal saya. Sebenarnya, itu adalah waktu yang sukar, keluarga saya diasak dengan pelbagai soalan.

“Mama dan papa saya tertekan dan bimbang. Jadi ketika itu penjelasan Engku lebih tepat dan dia jelaskan keadaan saya dengan betul.

“Papa juga sudah beri laluan untuk dia jawab. Saya juga tiada masalah untuk Engku ke depan. Saya gembira dia dapat kongsi keadaan saya ketika itu yang mana saya sendiri tak upaya nak bercakap,” ujarnya.

Dalam pada itu ketika disoal mengenai hubungannya dengan pelakon Teman Lelaki Upahan itu, Nad mengakui Engku Ismail lelaki paling rapat dengannya pada waktu ini.

Dia juga menghargai kehadiran pelakon itu yang banyak memberi semangat dan menjawab segala spekulasi sepanjang dia bertarung nyawa di hospital.

“Cukup saya cakap waktu ini dia rapat dengan saya dan saya hargainya. Saya tak nak jawab lebih-lebih.

“Dia banyak membantu dan beri semangat kepada saya. Itu saja,” ujarnya.

Sementara itu, Nad juga kesal dengan spekulasi yang mendakwa penyakit yang dihadapinya berpunca daripada makanan tambahan yang dipromosikan sebelum ini.

Tambahnya, berita tidak benar itu membuatkan dirinya berasa bersalah dengan pemilik makanan tambahan tersebut.

“Saya sedih apabila timbul isu kata penyakit paru-paru berdarah ini disebabkan makanan tambahan viral yang saya ambil.

“Itu tidak betul sama sekali, apa yang berlaku sedikit sebanyak membuatkan saya rasa bersalah pada pemilik produk itu.

“Saya nak jelaskan tiada kena mengena dengan makanan tambahan itu. Selagi saya tak bercakap mengenai itu jangan pandai-pandai, ini periuk nasi orang,” ujarnya.

Katanya, dia tidak pernah menyalahkan mana-mana pihak atas apa yang berlaku terhadap dirinya.

Selain itu, Nad yang sudah keluar daripada hospital berkata, dia akan menjelaskan tentang penyakit dan pengalaman sepanjang sebulan di hospital dalam masa yang lebih sesuai.

Nad juga berkata, dia akan berehat daripada lakonan beberapa bulan bagi memastikan paru-parunya kembali pulih seperti biasa.

Terdahulu pada 22 November lalu, media melaporkan Nad dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) akibat jangkitan kuman dan paru-paru berdarah.

Dia juga ditidurkan sebagai salah satu proses rawatan supaya paru-paru kembali berfungsi dengan baik selepas doktor mengeluarkan darah yang terdapat pada bahagian tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI