TAMPAK matang dalam pertuturan, gadis pilihan minggu ini, Nurul Afira Natasha Ali Sabri, yang baru berusia 22 tahun, tidak kekok dan petah berbicara dalam menceritakan tentang kisah hidupnya.
Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi, anak kedua daripada empat beradik ini turut menceburkan diri dalam dunia fesyen dan peragaan separuh masa, hasil inspirasi daripada ibunya yang mendalami bidang sama ketika zaman muda.
Bukan itu sahaja, Afira berkelulusan Diploma Sumber Manusia dari Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya (UMCCed) ini turut bekerja sebagai pentadbir eksekutif pada usianya yang masih muda.
Bersama wartawan Kosmo! Ahad, gadis kelahiran Kuala Lumpur ini berkongsi perjalanan kerjayanya sebelum terlibat dalam dunia peragaan.
KOSMO! AHAD: Kenapa pilih belajar dalam bidang sumber manusia?
Afira: Dari kecil hingga ke zaman sekolah, saya bercita-cita kerja di pejabat, mungkin terpengaruh dengan drama di televisyen, bidang ini juga saya anggap mudah mendapat tempat dalam industri.
Bagaimana pula boleh menceburkan diri dalam bidang peragaan?
Saya mula menceburkan diri dalam bidang peragaan sejak berumur 18 tahun. Ketika di bangku sekolah, saya suka bersolek dan berfesyen. Apabila saya memuat naik fesyen pakaian saya di media sosial, ada jenama pakaian tempatan menawarkan kerja peragaan, sejak itu saya melibatkan diri dalam dunia ini.
Cabaran terbesar dalam dunia peragaan?
Saya pernah alami gangguan seksual dalam talian pada awal penglibatan. Lelaki yang tidak dikenali ingin menawarkan kerja kepada saya, namun selepas berbalas mesej, permintaannya di luar batas dan pelik. Saya terus ke balai polis buat laporan dan sehingga kini saya masih trauma.
Siapakah pendorong terbesar dalam hidup?
Selain ibu bapa yang memberikan sokongan 100 peratus, pak cik saya juga adalah insan yang saya sangat terhutang budi. Dahulu, waktu saya baru mula-mula nak sertai pertandingan sana sini, pak cik yang banyak bantu bawakan saya ke mana-mana.
Di manakah awak dalam tempoh 10 tahun akan datang?
Saya tidak pasti sama ada masih terlibat dalam dunia peragaan atau tidak kerana mungkin sudah berkeluarga dan banyak kekangan. Namun saya bercita-cita untuk ada perniagaan sendiri, menjual ‘sweatshirt’ sebab apabila saya pakai, mesti pengikut akan tanya baju beli mana.
Ciri-ciri lelaki idaman?
Saya suka lelaki yang memahami dan tidak mengongkong sebab kerjaya Fira sangat memerlukan masa dan tenaga. Lelaki yang tidak hormat orang tua dan hanya menjadi ‘biawak hidup’ semata-mata, memang Fira akan pangkah siap-siap.
Pegangan atau nasihat daripada awak?
Sentiasa rasa diri di bawah, kenal ramai orang atau tidak, kita perlu merendah diri. Jadi seorang model ini, bukan tugas mudah, malah kita perlu menjadi contoh buat orang ramai. Banyakkan belajar, timba ilmu, dan jangan cepat rasa puas dengan apa yang kita ada.