KOTA BHARU – Selepas lebih 24 jam hilang, seorang mekanik ditemui mati di dalam takungan air banjir di kawasan kebun kelapa di Kampung Kubang Kacang di sini hari ini.
Mangsa, Wan Mohd. Aznizam Wan Mohamad, 45, dijumpai oleh penduduk kampung tersebut kira-kira pukul 10.30 pagi tadi.
Abang mangsa, Mohd. Azlan, 50, berkata dia mengetahui kejadian yang menimpa Wan Mohd. Aznizam selepas dihubungi oleh rakan adiknya itu.
Menurutnya, dia yang berada di rumah di Kampung Kubang Siput di sini terus bergegas ke tempat kejadian untuk melihat keadaan mangsa.
“Saya terkejut melihat mayat Wan Mohd. Aznizam berada dalam keadaan terbaring di dalam takungan air banjir sedalam 0.5 meter di kebun kelapa itu.
“Salah seorang adik saya yang berusia 30-an terus menghubungi polis untuk memaklumkan penemuan mayat itu. Dia hilang dari rumah kira-kira pukul 2 pagi semalam. Saya dan adik-beradik lain sudah mencarinya, namun dia gagal dikesan,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Mohd. Azlan berkata, dia belum membuat laporan polis berhubung kejadian itu apabila masih berada dalam keadaan kelam-kabut selepas penemuan mayat Wan Mohd. Aznizam.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Tumboh, Ayob Mahmood berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 1.16 tengah hari dan seramai tujuh anggota bergegas ke lokasi kejadian.
Katanya, semasa tiba di tempat kejadian, beliau dan anggota bomba membantu mengusung mayat mangsa keluar dari tempat kejadian sejauh 500 meter.
Tambahnya, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE.