SKUAD hoki kebangsaan mendapat durian runtuh apabila menerima insentif daripada Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) selepas menjuarai Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) bulan lepas selain muncul naib juara Piala Asia Jun lalu.
Turut diraikan adalah pasukan hoki dalam dewan lelaki dan wanita negara yang menampilkan aksi cemerlang ketika meraih gelaran juara dan tempat ketiga ketika menyertai Kejohanan Hoki Dalam Dewan Piala Asia di Bangkok, Thailand Ogos lalu.
Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, ganjaran tersebut yang berjumlah kira-kira RM300,000 diberikan sebagai penghargaan terhadap pencapaian pasukan yang sudah membanggakan negara.
“Inilah sumbangan yang mampu diberikan KHM kepada pemain-pemain yang sudah mengharumkan nama negara. Jika kita ada banyak (duit), kita akan beri lebih kepada mereka kerana inilah janji kepada pemain.
“Walaupun tidak banyak seperti beberapa persatuan sukan lain, namun kita tunaikan janji. Saya selalu ingatkan pemain supaya bermain lebih baik dalam mana-mana kejohanan supaya banyak tajaan masuk,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil semalam.
Terdahulu, skuad Malaysian Tigers melakar sejarah tersendiri apabila menamatkan penantian selama 39 tahun dengan menjulang trofi PSAS selepas menewaskan Korea Selatan 3-2 di perlawanan akhir.
Sementara itu, Subahan turut menyuarakan hasratnya supaya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dapat memberikan lebih peruntukan kepada KHM dan persatuan-persatuan sukan lain yang memiliki potensi untuk menyumbang pingat.
“Kami juga berharap pihak menteri boleh beri lebih peruntukan kepada sukan yang mampu beri kemenangan kepada negara seperti hoki dan beberapa sukan lain. Hari ini wang ringgit sangat penting untuk tingkatkan prestasi skuad negara.
“Sekiranya ada bantuan lebih untuk 2023, ia bukan sahaja boleh digunakan sebagai ganjaran kepada pemain, malah boleh digunakan bagi menyediakan fasiliti terbaik kepada skuad kebangsaan,” ujar beliau.